MEKAH: Malaysia sekali lagi melakar sejarah dalam soal pengurusan haji apabila menjadi negara pertama melengkapkan semua kontrak dalam sistem E-Haj yang membolehkan Lembaga Tabung Haji (TH) diberi peluang memilih tapak perkhemahan di Masyair.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata sebelum itu, Malaysia juga berjaya menjadi negara pertama menerima kelulusan visa haji untuk tahun ini selepas pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan lebih awal menerusi Sistem Nusuk.

"Tabung Haji berazam dan terus berazam untuk meneruskan komitmen serta menjadi contoh kepada negara lain. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama, komitmen dan panduan daripada pihak Mashariq," katanya.

Syed Salleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) berkata demikian ketika berucap di Majlis Ta'aruf atau ramah mesra antara barisan kepimpinan Syarikat Mashariq dengan pengurusan Rombongan Haji Malaysia sebagai tanda mahabbah kedua-dua pihak dalam menyantuni jemaah haji musim ini.

Turut hadir Pengerusi Syarikat Mashariq Holdings Adnan Hussin Mandora, Timbalan Pengerusi Syarikat Mashariq Holdings Abdul Rahman Abdullah Ashour, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Perubatan Abdul Marsudi Manah.

Syarikat Mashariq atau dahulunya dikenali sebagai Muasassah Tawafa Asia Tenggara merupakan syarikat yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas untuk jemaah haji Malaysia, khususnya kemudahan ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada waktu puncak ibadah haji atau masyair.

Hal itu merangkumi perkhidmatan serta kemudahan ketika di masyair seperti khemah penginapan, penghawa dingin, makan minum, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji antara Mekah, Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Selain itu, kos sambutan jemaah haji Malaysia memasuki Mekah dan penghantaran mereka keluar dari Mekah sama ada ke Madinah mahupun Malaysia juga dikendalikan oleh pihak Mashariq.

Syed Salleh berkata permuafakatan dan pertemuan itu bertujuan merapatkan lagi ukhuwah dan silaturahim untuk terus saling membantu sebagai satu pasukan dalam menyantuni tetamu Allah SWT.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab besar dalam menunaikan amanah mengendali jemaah haji Malaysia pada setiap musim haji.

Syed Salleh berkata kemantapan kerja sebagai satu pasukan penting dalam menyantuni dhuyufurrahman atau tetamu Allah yakni ketika berdepan operasi haji yang mencabar, lebih-lebih lagi dengan pelbagai pembaharuan yang akan diperkenalkan oleh kedua-dua pihak untuk keselesaan jemaah haji.

"Saya yakin kerjasama erat yang terjalin sejak sekian lama di antara kedua-dua Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia akan berterusan dan menjadi lebih akrab. Insya-Allah, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kepada tetamu Allah SWT di masa-masa akan datang," katanya.

Pada masa sama katanya TH sentiasa meningkatkan program latihan untuk bakal haji Malaysia sebelum mereka ke Tanah Suci, melibatkan pelbagai medium termasuk kursus haji dalam talian.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan mereka sentiasa mendapat maklumat dan panduan bukan sahaja berkaitan ibadat tetapi juga panduan kendiri dan adab, cara menjaga kesihatan serta mengekalkan kebersihan di persekitaran mereka.

Syed Salleh turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohamad bin Salman, yang menganugerahkan kuota penuh kepada rakyat Malaysia dalam melaksanakan ibadah haji musim 1445H.

"Kami amat menghargai komitmen di pihak kerajaan Arab Saudi melalui pelbagai pihak terutamanya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di bawah kepimpinan Menterinya Dr. Tawfiq Al-Rabiah," katanya.

-- BERNAMA