PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiapkan maklum balas terhadap syor laporan Pengurusan Wabak COVID-19 termasuk berkaitan isu ventilator untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada bulan depan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM memberikan komitmen kerjasama kepada PAC terhadap setiap syor dalam laporan itu dan segala maklumat yang diperlukan jawatankuasa itu akan disediakan.

"Kita sebenarnya sudah memberikan kerjasama penuh kepada PAC apabila mereka meminta maklumat mengenai perkara yang menjadi kebimbangan PAC itu.

"Kalau ada lagi yang diperlukan PAC, kami bersedia memberikan segala maklumat diperlukan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Integriti KKM dan Ikrar Bebas Rasuah di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC telah menghantar surat meminta KKM menjawab syor laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang diterbitkan pada 30 Okt lepas.

Laporan yang dikeluarkan PAC itu mendedahkan tiada kontrak atau perjanjian digubal antara KKM dengan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) dalam perolehan ventilator ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19 pada 2020.

Laporan itu turut mendedahkan Penasihat Undang-Undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.

Disebabkan tiada perjanjian bertulis antara KKM dengan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi. - Bernama