KUCHING: Badan kehakiman di Sabah dan Sarawak merekodkan pencapaian cemerlang pada 2024, dengan kedua-dua negeri menunjukkan kadar penyelesaian kes yang memberangsangkan pada semua peringkat mahkamah.

Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli berkata bagi Mahkamah Tinggi Sabah, kadar penyelesaian kes sivil dan kes jenayah masing-masing direkodkan pada 76 peratus dan 65.2 peratus manakala Mahkamah Tinggi Sarawak merekodkan 73 peratus kes sivil dan 49 peratus kes jenayah diselesaikan.

"Di Mahkamah Sesyen Sabah, 77.02 peratus daripada kes sivil yang didaftarkan dan 82.96 peratus daripada kes jenayah telah diselesaikan tahun lepas. Di Mahkamah Sesyen Sarawak, 69.78 peratus daripada kes sivil yang didaftarkan dan 81.23 peratus daripada kes jenayah telah diselesaikan.

"Bagi Mahkamah Majistret di Sabah, 81.13 peratus daripada kes sivil dan 92.56 peratus daripada kes jenayah telah diselesaikan. Di Mahkamah Majistret Sarawak, 83.65 peratus daripada kes sivil yang didaftarkan dan 92.67 peratus daripada kes jenayah telah diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, peratusan kes yang diselesaikan termasuk yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau juga berkata pengurusan kes praperbicaraan merupakan satu daripada kunci utama yang perlu terus berjalan bagi memudahkan penyelesaian kes secara lancar dan pantas, tanpa kompromi kepada keadilan.

"Untuk memacu peningkatan berterusan, fokus kita ialah pada peningkatan pada bidang tertentu. Untuk mencapai ini, saya telah mengingatkan semua hakim, pesuruhjaya dan pegawai kehakiman untuk memantau rapat perkembangan kes mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Mohamed Nazim Maduarin dalam ucapannya berkata lokasi geografik strategik Sabah, khususnya kedekatannya dengan ibu negara baharu Indonesia Ibu Kota Nusantara (IKN) memberikan peluang untuk kerjasama perundangan serantau.

Beliau berkata negeri itu berada pada posisi tepat untuk menjadi pemain utama dalam kolaborasi perundangan rentas sempadan.

"Dengan keupayaan unik Sabah menghubungkan budaya serta kemahiran bahasa peguam-peguam kami, kami bersedia untuk menjadi rakan kongsi dalam hal ehwal undang-undang serantau.

"SLS bukan lagi hanya 861 peguam bertapak di Sabah. Kami ialah 861 peguam yang bersedia untuk berkhidmat kepada dunia, dilengkapi dengan kemahiran, hubungan dan wawasan untuk menjadi kumpulan pengamal undang-undang Sabah yang benar-benar global," katanya,

-- BERNAMA