Tertuduh Chong Wen Kai, 20, dan Justin Ng Boon Hao, 22, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 22,847 gram (g) dan 161g di sebuah rumah di Taman Mount Austin di sini, kira-kira pukul 8.50 malam 10 Jan lepas.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan sehingga 15 kali, sekiranya tidak dihukum mati jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, kedua-dua tertuduh dihadapkan dengan dua tuduhan memiliki dadah iaitu masing-masing 270g ketamin dan 10g nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama.
Mereka yang tidak mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mac dan 25 Mac depan bagi serahan dokumen dan laporan kimia.
Pada 17 Januari lepas, media melaporkan polis menahan empat individu dan merampas 24kg dadah bernilai kira-kira RM4 juta di dua kondominium di bandar raya ini.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilaporkan berkata empat individu ditahan itu adalah dua lelaki tempatan dan dua wanita dipercayai warga Vietnam.
-- BERNAMA