TUMPAT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan untuk membela nasib 3,146 pesawah padi yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, setakat 8 Mac lalu, pihaknya menerima laporan mengenai kerugian keseluruhan yang dialami oleh pesawah padi adalah lebih RM56 juta meliputi keluasan keseluruhan iaitu 13,326 hektar.

"Kerajaan amat prihatin dengan apa yang menimpa golongan sasar ini dan sudah pasti MAFI akan melakukan sesuatu dalam usaha membela nasib petani terjejas teruk akibat banjir ini," katanya kepada pemberita selepas Program Road To Jubli Emas Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tumpat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata berdasarkan jumlah yang dilaporkan itu pasti akan memberikan impak besar terhadap petani kerana tanaman dan pendapatan mereka terjejas.

"Bagi negeri Kelantan misalnya, kerosakan jumlah padi paling tinggi dicatatkan adalah jajahan Pasir Mas iaitu melebihi RM19 juta, diikuti Bachok lebih RM14 juta dan Tumpat bernilai RM11 juta.

"Ketiadaan empangan di negeri Kelantan menyebabkan petani sering menghadapi masalah bekalan air selain faktor pengurangan kawasan jelapang yang disebabkan oleh pembangunan untuk komersial dan perumahan," katanya.

-- BERNAMA