Kedua-duanya kemudian ditemui rentung dalam keadaan berpelukan ketika pasukan bomba dan penyelamat melakukan pencarian pada sisa-sisa kebakaran, di Kampung Hilir, Lingga, Sri Aman, Sarawak.
Mangsa yang terkorban kemudian dikenal pasti sebagai Zulkarnain Ajijul, 5, dan adiknya, Zulfadli Ajijul, 2.
Ibu malang, Jamilah Tuah jelas masih trauma dan kecewa, kerana tidak mampu berbuat apa-apa dalam insiden yang berlaku sekelip mata itu.
BACA: Dua beradik rentung
“Mereka berdua ada menjerit memanggil saya. Tetapi selepas itu suara dua beradik terus hilang. Saya tidak dapat menyelamatkan mereka sebab tiada orang lain berada di rumah (ketika kejadian).
“Saya hendak memasuki semula rumah tetapi api sudah terlalu marak. Saya tidak tahu apa yang dimainkan mereka berdua di dalam rumah. Terlalu sekejap saya tinggalkan mereka berdua beradik kerana sebelum itu mereka tidur di sebelah kakaknya. Saya tidak sedar bilakah masa mereka bangkit dan masuk ke dalam bilik (datuk mereka) ... saya pun tidak tahu,” kata Jamilah.
Dalam kejadian sekitar jam 4.25 petang itu, kedua-dua adik beradik malang itu ditemui mati dalam keadaan berpelukan di hadapan pintu bilik datuk mereka.
Sementara itu datuk mangsa, Ali Sanusi seakan tidak percaya akan tragedi yang meragut nyawa dua cucu kesayangannya itu.
“Pilu rasa hati apabila terkenang dan terbayang wajah cucu saya. Saya tidak perasan (kejadian kebakaran), saya tidak tahu apa-apa, kerana saya cuma melihat asap hitam tebal di rumah.
“Saya cuma ingat keselamatan cucu, di mana mereka berada. (Apabila dapat tahu) cucu saya dah mati, saya berasa lemah,’ katanya.
Ali juga sebelum itu dikatakan sempat bermain bersama-sama kedua-dua cucunya sebelum pergi memukat ikan di sungai bersama-sama anaknya.
Keluarga malang ini ditemui di kediaman saudara mereka di Sri Aman, malam tadi.
Jenazah dua beradik itu masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sri Aman dan akan menjalani prosedur bedah siasat sekitar jam 10 pagi.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Lingga hari ini.