TUMPAT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan 10,150 metrik tan stok penimbal yang boleh digunakan pada bila-bila masa sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Rashima Baharuddin berkata stok ikan pasti terjejas kerana rata-rata nelayan tidak dapat keluar ke laut ketika musim tengkujuh yang bermula Okt hingga Feb tahun hadapan.

"LKIM menjalankan kerjasama dengan persatuan nelayan, lima syarikat swasta dan selebihnya stok ikan sejuk beku Q-Fish dengan jumlah keseluruhan 10,150 metrik tan stok penimbal.

"Malah, stok ikan sejuk beku Q-Fish turut diagihkan di pusat penempatan sementara (PPS) semasa banjir gelombang pertama baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Skuad Ihsan Mada dan Penyampaian Bantuan Banjir Kepada Nelayan Tumpat di LKIM Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rashima berkata pada musim MTL aktiviti penangkapan ikan dikurangkan, namun bekalan stok ikan masih mencukupi dan tidak terjejas.

"Seramai 829 nelayan di negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang terjejas akibat banjir dengan nilai anggaran kerosakan sebanyak RM594,032.

"Daripada jumlah itu, Kelantan merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 633 termasuk 291 di jajahan Tumpat. Namun, kita masih dalam siasatan untuk mendapatkan data yang tepat berkaitan jumlah kerosakan sebenar yang dihadapi para nelayan," katanya.

Beliau berkata walaupun nelayan tidak dapat turun ke laut ketika MTL, namun kerajaan memberikan elaun RM300 sebulan untuk kegunaan mereka sepanjang musim berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 53 usahawan dan 16 kakitangan LKIM terjejas akibat banjir termasuk masing-masing tujuh kakitangan dari Kelantan dan Terengganu serta dua kakitangan dari Kedah, manakala tiga pejabat LKIM turut terkesan kerana dinaiki air.

-- BERNAMA