Bagaimanapun Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata pihaknya telah mengambil langkah awal dan proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan ikan sepanjang tempoh MTL iaitu November hingga Mac tahun depan.
"Memang kita tak nafikan memang akan ada pengurangan tetapi ia membabitkan kawasan Pantai Timur Semenanjung manakala di Pantai Barat seperti di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan juga Perak aktiviti (menangkap ikan) di laut dan lain-lain masih boleh dilakukan seperti biasa.
"Jadi kita jangkakan kekurangan bekalan ikan di Pantai Timur itu akan ditampung dengan bekalan ikan dari Pantai Barat dan melalui aktiviti akuakultur termasuklah ikan-ikan marin seperti siakap, kerapu, ikan bawal emas dan juga ikan-ikan air tawar kita seperti keli, tilapia dan juga ikan patin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Wajah Baharu Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) di Batu Maung dekat sini hari ini.
Adnan berkata pihaknya memberi jaminan bekalan ikan akan mencukupi sepanjang tempoh MTL meskipun dijangka berlaku sedikit kenaikan harga runcit ikan dan pihaknya juga mengambil beberapa langkah bagi menstabilkannya.
Selain itu katanya pihaknya juga telah membuat persiapan menyimpan ikan sejuk beku yang merupakan stok penimbal bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi sepanjang musim tengkujuh.
Menurut Adnan pengeluaran ikan marin negara secara keseluruhan kekal stabil sekitar 1.2 juta tan metrik setiap tahun walaupun berlaku MTL.
Sementara itu, beliau menasihati nelayan sampan supaya tidak turun ke laut sekiranya keadaan cuaca tidak menentu sepanjang tempoh itu dan sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan daripada Jabatan Meteorologi.
Bagi nelayan sampan yang terjejas akibat tidak dapat turun ke laut pula, beliau berkata kerajaan telah menyediakan beberapa sokongan termasuk bantuan sara hidup untuk meringankan beban mereka.
"Kita menasihatkan nelayan agar mengutamakan keselamatan diri dan memantau ramalan cuaca sebelum turun ke laut serta manfaatkan tempoh MTL ini dengan membaik pulih peralatan menangkap ikan atau menjalankan aktiviti tambahan untuk memperoleh pendapatan," katanya.
-- BERNAMA