NIBONG TEBAL: Lima projek mitigasi banjir jangka pendek dan jangka panjang dengan kos keseluruhan RM247.1 juta sedang dan akan dilaksanakan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata tiga daripada lima projek itu ialah projek jangka pendek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau berkata projek di bawah peruntukan Caruman Saliran Negeri itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

"Tiga projek jangka pendek itu ialah (di) Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau membabitkan jumlah pelaksanaan dianggarkan sebanyak RM200,000 bagi setiap projek, yang akan memberi manfaat kepada 150 keluarga di kawasan terlibat.

"Ketiga-tiga projek itu akan bermula pada penghujung Jun nanti dan dianggarkan tempoh pelaksanaan projek ini memakan masa selama tiga bulan," katanya pada sidang media projek berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Zairil berkata kerja-kerja yang akan dilakukan termasuk menaik taraf tebing Sungai Baong, Sungai Buaya dan Sungai Junjung selain mendalamkan laluan sungai yang sempit, melebarkan sungai dan membina tembok penahan di ketiga-tiga sungai terbabit.

Sementara itu, beliau berkata dua projek mitigasi banjir jangka panjang yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan Persekutuan sebanyak RM246.5 juta ialah Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi dan Projek Tebatan Banjir Sungai Kechil.

Menurut Zairil lebih 10,000 keluarga terjejas banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap dijangka meraih manfaat daripada projek tersebut yang akan turut mengurangkan kekerapan dan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar.

-- BERNAMA