Ketua Zon 1 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 1.38 tengah hari tadi.
Katanya, mayat berkenaan ditemukan pada kedalaman tiga meter di dasar sungai oleh pasukan penyelamat di air (PPDA) JBPM yang melakukan selaman sejak pagi tadi.
"Mayat lelaki itu ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi kali terakhir dilihat. Operasi untuk menaikan mayat lancar kerana keadaan air tenang dan tidak berarus kuat.
"Mayat itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad memaklumkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.15 petang Ahad.
Katanya, lelaki itu bertindak terjun ke sungai setelah panik dengan kehadiran pihak polis yang melaksanakan operasi di situ.
"Ketika itu terdapat tiga lelaki dengan dua daripada mereka melarikan diri manakala seorang lagi terjun ke sungai.
"Setelah terjun ke sungai, lelaki berkenaan dilihat berenang sejauh kira-kira 15 meter sebelum tenggelam," katanya.