ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai cuba melarikan diri daripada ditahan polis dikhuatiri lemas setelah terjun ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa dekat Pokok Sena semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata lelaki itu dipercayai panik dan terjun ke sungai apabila menyedari kehadiran polis dalam satu operasi di kawasan berkenaan kira-kira 4.15 petang.

"Polis menerima maklumat kejadian pada 4.26 petang. Menurut saksi mangsa berenang kira-kira 15 meter dari tebing sungai sebelum dilihat tenggelam.

"Kejadian berlaku bersebelahan kebun sayur kampung tersebut, ketika kejadian tiga orang berada di kawasan operasi, dua melarikan diri dan seorang (mangsa) terjun ke dalam sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pokok Sena, namun dihentikan sekitar 7.30 petang semalam berikutan keadaan cuaca gelap.

Siti Nor Salawati berkata operasi masih diteruskan hari ini di lokasi mangsa kali terakhir dilihat tenggelam.