BAGAN DATUK: Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam laut di Jeti Bagan Datuk di sini, Isnin lalu, ditemui lemas kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Mayat mangsa berusia 26 tahun itu ditemui orang awam yang sedang memancing kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.53 petang Isnin.

“Operasi pencarian mangsa bermula jam 9 pagi ini (Selasa) dengan kaedah surface seaching,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Menurut jurucakap itu lagi, operasi pencarian turut dibantu Pasukan Pencarian Di Air (PPDA), polis, Angkatan Pertahanan Awam dan dua ekor anjing dari Unit K9 JBPM.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Zulkafle Abdullah tamat jam 9.35 malam tadi.