Menurut Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat Supt Surin Chantep, tahanan akan dipindahkan ke dalam trak dalam blok bangunan dan dibawa terus ke mahkamah tanpa pengetahuan sesiapa, baik keluarga mahu pun kenalan, kerana mematuhi peraturan dalam membawa pesalah.
"Mereka dipindahkan dari dalam sel, trak bergerak terus ke mahkamah dengan iringan kenderaan polis.
"Setibanya di mahkamah, trak akan memasuki kawasan di mana media, ahli keluarga dan sebagainya tidak boleh memasukinya, sebelum mereka dibawa naik ke kamar mahkamah," katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual di pejabatnya di sini hari ini.
Surin berkata peraturan keselamatan di Thailand mengutamakan keselamatan pesalah atau tahanan yang dibawa keluar dari penjara ke mahkamah.
Untuk itu, jelasnya, ahli keluarga atau kenalan tidak perlu menunggu di pekarangan Penjara Narathiwat kerana pihaknya tidak akan mendedahkan masa dan kenderaan mana yang akan membawa keenam-enam rakyat Malaysia itu ke mahkamah nanti.
Kesemua tahanan itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Narathiwat pada 14 Januari depan dengan sebutan dan pertuduhan ke atas kes mereka dibuat di kamar mahkamah.
Terdahulu, keenam-enam tahanan itu dipanggil ke Mahkamah Narathiwat pada 3 Januari lepas di hadapan Hakim Methpiya Metheelak.
Bagaimanapun, tertuduh Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 29 tahun, Mohamad Alif Deraman, 32 tahun, Mohd Affendi Ahmad, 34 tahun, Nur Aida Mamat, 32 tahun, Erdieka Mohd Noor, 31 tahun, dan Zuhaira Nasrin, 25 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah.
Mereka dituduh memiliki dan bersubahat dengan niat untuk mengedar methamphetamine, yang dianggap sebagai kesalahan narkotik kategori pertama selain dituduh menggunakan dadah berkenaan dalam diri sendiri.
Kesemua mereka dijangka dituduh pada 14 Januari depan di Mahkamah Narathiwat sekitar jam 9 pagi.