KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan semalam ini menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM1.4 juta kepada lapan koperasi komuniti India bagi memperkasakan sektor koperasi masyarakat itu di negara ini.

Enam koperasi menerima bantuan berupa geran berjumlah RM175,600 menerusi Bantuan Bakti Madani manakalah dua lagi koperasi menerima bantuan berjumlah RM1.225 juta menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM).

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Geran Bantuan dan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di sini, Ramanan berkata pemberian bantuan itu adalah bukti komitmen kementeriannya dalam membantu membangunkan ekonomi komuniti India.

Beliau berkata penyerahan bantuan kewangan itu juga adalah tindakan susulan daripada Persidangan Koperasi Komuniti India 2024 (PKKI 2024) pada 13 Okt tahun lepas yang menghimpunkan lebih 200 koperasi komuniti berkenaan.

"Kalau kita lihat, memang persidangan (PKKI) mendapat sambutan tetapi hanya 17 permohonan (bantuan kewangan) daripada koperasi yang diterima. Ini sememangnya agak rendah jika dibandingkan dengan jumlah lebih 200 (anggota) koperasi yang hadir.

"Dari jumlah itu (17 permohonan), hanya enam koperasi telah diluluskan bantuan di bawah Bantuan Bakti Madani dengan selebihnya masih dalam pertimbangan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)," katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Rusli Jaafar dan pengurusan tertinggi SKM.

Beliau berkata sebanyak RM1 juta telah disediakan di bawah inisiatif Bantuan Bakti Madani bagi tahun ini dengan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Pembangunan (KWAPb) iaitu had maksimum jumlah bantuan adalah sehingga RM30,000 bagi setiap koperasi.

Pihak SKM juga katanya akan turun padang ke setiap negeri bagi memberikan taklimat dan mengadakan perbincangan dengan koperasi-koperasi India untuk membantu mereka antaranya dari segi dokumentasi bagi menjayakan permohonan di bawah Bantuan Bakti Madani tersebut.

"Jadi ambillah peluang ini, itu nasihat saya kepada koperasi India di luar sana untuk mereka dapat lebih banyak manfaat dan minta bantuan daripada SKM," katanya.

Sementara itu, Ramanan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal komuniti India turut memaklumkan pihaknya akan mengumumkan inisiatif besar dalam masa terdekat untuk meningkatkan perniagaan komuniti India di bawah satu daripada agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) namun tidak memberikan perincian mengenai inisiatif itu.

-- BERNAMA