ALOR SETAR: Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan membunuh ahli keluarganya dan kesalahan dadah, minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, selepas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Di hadapan Majistret Siti Norhidayah, tertuduh yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa membunuh isterinya, Nor Begam Md Yasin, 34, di belakang sebuah bangunan kosong, Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini antara 11.30 malam, 18 Ogos hingga 12.30 tengah malam, keesokan harinya.

Tertuduh turut didakwa membunuh anak bongsunya, Abdul Hakim yang berusia setahun 11 bulan di hadapan sebuah premis perkakasan rumah, Lorong Tunku Muhammad Jalan Pegawai, di sini pada pukul 12.45 pagi, 19 Ogos lalu.

Sementara di hadapan Majistret Nur Syifa, Abdu Gapur didakwa membunuh anak sulungnya, Lianaata, 10, di lokasi sama seperti ibunya, antara pukul 11.30 malam, 18 Ogos hingga 12 tengah malam, 19 Ogos lalu.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.

Bagi kesalahan dadah, Abdu Gapur mengaku bersalah memasukkan dadah jenis Amphetamine; Methamphetamine dan Morfin ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pada pukul 1.50 pagi, 20 Ogos lalu.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha dan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor M. Kaneson, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh bagi kesalahan dadah kerana dia disabitkan bagi kes di bawah Seksyen 302, selain disebabkan faktor warga asing.

Tarikh 26 November depan ditetapkan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan forensik termasuk laporan patologi bagi hukuman untuk kesalahan dadah.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang, selepas dipercayai mengelar isteri dan dua anaknya di leher dengan menggunakan parang.

Seorang lagi anak berusia lima tahun tidak diapa-apakan dan kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).