Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Sufian Jusoh berkata, dasar terbuka membolehkan Malaysia menjadi pengantara dalam menyelesaikan banyak konflik di Asia Tenggara.
“Malaysia akan mengetuai ASEAN untuk menangani isu-isu yang besar seperti Laut China Selatan, isu Myanmar, isu antara China dan Amerika Syarikat selain membawa isu Palestin untuk dibincangkan.
“Malah ini peluang untuk Malaysia mengetuai ASEAN bersama rakan dialog seperti Amerika Syarikat, China, India dan Rusia bagi mengetengahkan isu berbangkit yang perlu diselesaikan masyarakat dunia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di IKMAS, di sini, pada Khamis.
Pandangan berkenaan senada dengan Ketua Pengasas Pusat Penyelidikan Ikatan Malaysia-Indonesia (IKMI) IKMAS, Profesor Mohd Kamarulnizam Abdullah yang berharap ASEAN 2025 menjadi platform krisis kemanusiaan negara serantau yang membabitkan Malaysia dapat diselesaikan.
“Misalnya isu Myanmar yang dilihat sebagai satu isu dalaman mengenai hak asasi manusia telah merebak menjadi isu yang lebih menyeluruh di Asia Tenggara di mana ASEAN yang harus menanggung termasuklah Malaysia.
“Lebih tepat permasalahan akibat pelarian Rohingya, isu ini juga juga sebenarnya dari segi persaingan politik antara kuasa besar di antara China dan kuasa Barat. China berada di belakang Myanmar kerana China mahu menggunakan Myanmar sebagai transit kepada aksesnya untuk lautan Hindi dan sebagainya.
“Pada pendapat saya ini menyebabkan Myanmar ada bantuan hebat daripada salah satu kuasa dunia walaupun kuasa-kuasa Barat sentiasa menekan ASEAN untuk menyelesaikan isu ini,” katanya yang turut bersama dalam temu bual Astro AWANI.
BACA: Junta buka pintu rundingan, Malaysia sedia bantu selesai pergolakan di Myanmar
Pada Jumaat lalu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kesediaan Malaysia berunding dengan Myanmar untuk menyelesaikan isu berkaitan selepas negara diperintah junta itu memberi isyarat membuka pintu rundingan.
Katanya, kebanyakan usaha penyelesaian masalah di Myanmar akan dijalankan secara rundingan bersama negara ASEAN melalui Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui sejak 2021 walaupun sehingga kini tidak banyak perkembangan positif berlaku.