"Setelah menjalankan penyiasatan secara menyeluruh, bebas dan tidak berat sebelah, Pejabat saya telah membuat kesimpulan bahawa terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Jeneral Kanan dan Pemangku Presiden Min Aung Hlaing, Panglima Perkhidmatan Pertahanan Myanmar, memikul tanggungjawab jenayah bagi jenayah terhadap kemanusiaan pengusiran dan penganiayaan terhadap Rohingya yang dilakukan di Myanmar, dan sebahagiannya di Bangladesh," kata Karim Khan dalam satu kenyataan.
Menurut pendakwa raya, jenayah itu dilakukan antara 25 Ogos 2017 dan 31 Dis 2017 yang dilakukan oleh Angkatan Bersenjata Myanmar, disokong oleh polis negara, polis pengawal sempadan serta orang awam bukan Rohingya.
Menyedari bahawa ia adalah permohonan pertama untuk waran tangkap terhadap pegawai kerajaan Myanmar peringkat tinggi yang dikemukakan oleh pejabat pendakwa raya, beliau menambah, "lebih banyak lagi tindakan akan diambil."
Khan menekankan bahawa permohonan itu berdasarkan pelbagai bukti daripada pelbagai sumber seperti keterangan saksi, bukti dokumentari serta bahan saintifik, fotografi, dan video yang disahkan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih yang mendalam dan ikhlas kepada komuniti Rohingya. Lebih sejuta ahli komuniti mereka terpaksa melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan keterangan dan sokongan kepada Pejabat saya, kepada mereka yang telah berkongsi cerita mereka, mereka yang telah memberi kami maklumat dan bahan," katanya.
-- BERNAMA