KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang bertindak menunjukkan objek menyerupai pistol dalam satu insiden pertengkaran dikatakan berlaku di sebuah medan selera di Puchong, Selangor, Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial berhubung kejadian.

Katanya, polis menerima laporan daripada pengadu memaklumkan semasa dia berada di medan selera di Puchong telah menegur seorang lelaki supaya tidak merokok di dalam kawasan medan selera.

"Bagaimanapun, telah berlaku salah faham sebelum secara tiba-tiba suspek bertindak mengacukan sebuah objek menyerupai pistol ke arah perut pengadu.

"Suspek terus beredar dari lokasi berkenaan dan pengadu bertindak membuat laporan polis untuk keselamatan diri dan keluarganya," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bertindak atas maklumat, Anbalagan berkata, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita pemegang kad permastautin tetap berusia lingkungan 39 hingga 53 tahun.

Katanya, semakan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah narkotik.

"Polis turut merampas objek menyerupai pistol berwarna hitam bersama satu kelopak dan dua butir peluru.

"Sehubungan itu, kertas siasatan dibuka mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," ujarnya.