KUALA LUMPUR: Seramai 1,656 anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur ditugaskan di empat lokasi sambutan Ambang Merdeka di ibu negara pada Jumaat ini.

Empat lokasi itu ialah Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX) dan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata daripada jumlah penugasan itu, 116 anggota trafik akan memastikan kawalan keselamatan lalu lintas serta menjalankan beberapa operasi seperti lumba haram.

"Matlamat kita supaya orang ramai dapat menyambut Ambang Merdeka dalam kegembiraan dan tidak mahu ada yang terlibat kemalangan selain memastikan keselamatan mereka," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya pemandu yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada Sabtu ini supaya mematuhi undang-undang lalu lintas termasuk meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan.

Rusdi berkata orang ramai disaran untuk menggunakan pengangkutan awam disediakan penganjur antaranya enam teksi air dan tiga cruise serta 80 bas perantara yang akan beroperasi dari 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos ini.

"Saman akan dikeluarkan dalam keadaan betul-betul maksimum, contohnya parkir yang menghalang lalu lintas dan jika situasi ekstrem, kita mungkin sediakan kereta tunda untuk menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas," katanya.

-- BERNAMA