Komitmen itu dinyatakan kedua-dua negara dalam kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai ke atas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena dengan Permukiman Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di Batu Ferringhi, di sini, pada Rabu.
Menurut Kementerian Pertahanan, kedua-dua menteri itu turut bersetuju bahawa negara-negara anggota ASEAN perlu menjadi kuat dan bersatu agar lebih banyak kerjasama dapat dilihat antara negara serantau pada masa depan.
Dalam pada itu, Wechayachai turut mengucapkan terima kasih kepada Mohamed Khaled atas kerjasama erat yang dipamerkan selama ini dan menyokong sepenuhnya hubungan kukuh antara Malaysia dengan Thailand dalam sektor pertahanan termasuk kepimpinan Malaysia dalam penganjuran ASEAN 2025.
Sementara itu, dalam pertemuan bersempena dengan kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha pula, negara itu memberi bayangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pertahanan bagi meningkatkan dan mewujudkan kerjasama baharu dengan Malaysia dalam bidang berkenaan.
Menurut Kementerian Pertahanan, Kemboja juga menyatakan sokongan penuh terhadap Malaysia yang mempengerusikan ASEAN dan ADMM pada tahun ini sementara Malaysia pula menekankan kepentingan ADMM sebagai platform penting untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjemput Kemboja untuk menyertai LIMA 2025, yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini di Langkawi, Kedah.
Terdahulu, Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, Khamlieng Outhakaisone (Laos) dan Dr Eng Ng Hen (Singapura) selain Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam, Nguyen Tan Cuong dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto C.Teodoro.
Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman ini yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan."
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. - BERNAMA
