KOTA TINGGI: Dua suspek warga asing kes berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang ditahan Sabtu lepas akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kedua-dua lelaki warga emas berusia 66 dan 70 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan.

"Kita telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes penganjuran program Larian Pan Asia 2024 yang menyentuh sensitiviti agama dengan segelintir peserta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam di kawasan Desaru, Bandar Penawar, di sini, baru-baru ini.

"Susulan itu, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan negeri semalam dan kita menerima arahan untuk pertuduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit dan polis turut merampas pakaian serta aksesori mereka ketika larian itu. - BERNAMA