Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibentangkan dalam laporan di Parlimen, hari ini.

Siasatan ke atas 1MDB dimulakan oleh PAC pada 19 Mei tahun lalu dan tertumpu kepada pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB sejak diperbadankan pada 2009.

Susulan pembentangan laporan PAC, Lembaga Pengarah 1MDB secara kolektif memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

MESTI BACA: Ahli lembaga pengarah 1MDB: Siapa mereka?

Berikut merupakan lima persoalan utama yang dijawab dalam laporan tersebut:


1- Di mana silapnya?

1MDB merupakan syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan sebagai pemangkin pembangunan strategik untuk menggalakkan kemasukan pelaburan langsung asing ke dalam negara (FDI).

Bagaimanapun, 1MDB bergantung kepada hutang berbentuk pinjaman bank, bon dan sukuk sebagai modal syarikat dan sebahagian hutang tersebut telah mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.

Hutang 1MDB meningkat setiap tahun, bermula dengan RM5 billion pada tahun 2009.

Mac 2014
Nilai hutang: RM42 billion
Nilai aset: RM51 billion
Pembayaran faedah hutang: RM2.4 billion

Januari 2016
Nilai hutang: RM50 billion
Nilai aset: RM53 billion
Pembayaran faedah hutang: RM3.3 billion

Jelas, tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding dengan aliran tunai syarikat.

1MDB bergantung kepada pembiayaan semula untuk pembayaran balik hutang matang dan juga mengambil hutang baharu, antaranya untuk pembayaran faedah hutang sebelumnya.


2- Bagaimana ini boleh berlaku?

Beberapa amalan oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Contohnya, pihak pengurusan beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah ataupun mengambil tindakan sebelum kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah.

Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci dan beberapa keputusan besar telah dibuat melalui resolusi bertulis, berasaskan perbincangan pada mesyuarat sebelumnya.

Pihak Lembaga Pengarah juga terlalu bergantung kepada pihak pengurusan dan sering menerima penjelasan mereka tanpa mendalami isu-isu yang berbangkit.


3- Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan?

Kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk memperbaik masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Pada bulan Januari 2015, pengurusan tertinggi baharu telah dibawa masuk selepas itu, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah menumpukan perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah syarikat.

Suatu kajian strategik telah dilaksanakan dan rumusan dibentangkan pada Februari 2015. Susulan itu, 1MDB dan MKD telah membentangkan pelan rasionalisasi kepada Jemaah Menteri pada 29 Mei 2015.


4- Siapa yang bertanggungjawab?

PAC berpendapat terdapat kekangan dan kelemahan tertentu oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB khususnya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang perlu mengambil tanggungjawab atas kelemahan dan kekangan-kekangan tersebut.

 Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

PAC turut mencadangkan agar Shahrol disiasat.

BACA: 1MDB: Laporan PAC menunjukkan dakwaan Tun Mahathir tidak benar - Najib

BACA: Lembaga Pengarah 1MDB tawar peletakan jawatan susulan laporan PAC

BACA: 1MDB: Laporan PAC akan diperhalusi Kabinet - Khairy


5- Apakah cadangan PAC bagi memperbaik 1MDB?

Terdapat lima cadangan yang dikemukakan oleh PAC:

Prinsip tadbir urus

1MDB seharusnya mengamalkan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik seperti panduan yang dikeluarkan oleh Putrajaya Committee on High Performance GLC melalui Green Book: Enhancing Board Effectiveness dan Blue Book: Intensifying Performance Management Practices

Elak hutang berlebihan

Penggunaan hutang yang berlebihan di dalam struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Lembaga Pengarah perlu kawal lebih ketat

Pihak Lembaga Pengarah gagal melaksanakan tanggungjawab dan menjaga kepentingan syarikat dan pemegang saham serta tidak mengambil tindakan sewajarnya atau proaktif dalam meneliti aktiviti pihak pengurusan dan aliran tunai hadapan syarikat.

Kawal selia yang lebih rapi diperlukan oleh Lembaga Pengarah, termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.

Mansuh Lembaga Penasihat

Lembaga Penasihat perlu dimansuhkan, bersama Artikel 117 di dalam memorandum dan artikel syarikat. Segala rujukan kepada perdana menteri perlu ditukar kepada menteri kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain kepunyaan MKD.

Serah anak syarikat

Anak-anak syarikat dan aset milik kumpulan 1MDB seperti TRX, Bandar Malaysia, tanah Air Itam, dan tanah Pulau Indah seharusnya diserahkan kepada MKD, supaya dapat dikawal selia dan diuruskan dengan lebih rapi dan teliti.



Baca laporan penuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di sini.