Bukan hanya terkenal di seluruh negara, malah ada pelancong luar juga datang ke Temerloh semata-mata untuk menikmati juadah ikan patin.
Namun di sebalik tarikan pelancongan makanan itu, ada kisah yang membelenggu ramai penternak ikan patin dalam sangkar apabila mereka mendakwa berdepan kerugian jutaan ringgit.
Astro AWANI yang berada di Kuantan sempena liputan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bergerak ke Temerloh untuk melihat sendiri, apa yang boleh dinaik taraf dari sudut sosioekonomi setempat.
Pendapatan semakin berkurangan
Azha Abdul Malek, 48, yang pernah mengusahakan ikan patin dalam sangkar di Sungai Pahang sejak 20 tahun lalu, ketika ditemui berkata perniagaannya semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga memaksanya menghentikan operasi.
Dia kini membuka gerai jualan ikan patin dengan mendapatkan bekalan daripada rakan-rakan yang masih bertahan mengusahakan ternakan ikan berkenaan.
Dakwanya, semua isu dihadapi penternak patin di kawasannya adalah gara-gara perubahan hidrologi di Sungai Temerloh akibat aktiviti pam pasir berhampiran kawasan sangkarnya.
"Dulu pendapatan alhamdulilah tak ada masalah sampai ke tahun 2014 bila wujud pam pasir di seberang sungai, teruslah pendapatan makin teruk.
"Kesan perubahan arus ketara sangat (Sungai Pahang), asalnya dulu sebelah sana cetek sebelah sini dalam. Tapi bila dah korek, dalam di sebelah sana... arus mengalir ke sana, sini jadi berlumpur dan mendap.
Terpaksa berhentikan pekerja
Menurutnya, dahulu dia mampu meraih sehingga RM3,000 setiap hari hasil jualan patin, namun kini pendapatannya terus menjunam, malah daripada tujuh pekerja digajikannya, kini hanya dua yang tinggal dengan gaji hari.
"Sangkar kami tak boleh adjust lagi, dah bawa ke tengah (sungai) pun cetek... tersadai atas darat (beting pasir), ikan mati.
"Sampai sekarang tak berani nak ternak ikan, sangkar tersadai... ada yang dah rosak. Kerugiannya dalam 18 orang (penternak di kawasan ini) terjejas semuanya babit 260 sangkar... kerugian cecah RM12 juta juga," katanya lagi.
Baginya, masa depan penternak ikan sangkar yang berdepan masalah sepertinya seolah-olah gelap dan mereka mengharapkan bantuan kerajaan untuk menghidupkan kembali aktiviti ternakan berkenaan.
"Memang tak nampak masa depan (sebagai penternak patin), mungkin akan terkubur macam itu sahajalah kalau tiada jalan penyelesaiannya.
"Nak kata putus asa itu, tak boleh juga sebab kami memang bergantung sepenuhnya ternakan ikan sangkar ini, tapi dah jadi macam ini modal pusingan pun dah tak ada.
"Itulah saya ada mohon bantuan kerajaan harap dapat support kami untuk mulakan balik sangkar ni," katanya lagi.
Penternak buat aduan
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, pam pasir yang didakwa menjadi punca perubahan hidrologi sungai itu terletak berhadapan dengan sangkar ikan pengusaha.
Mereka mendakwa pernah membuat aduan beberapa kali sejak 2014 kepada beberapa pihak termasuk Jabatan Perikanan Daerah Temerloh untuk membantah aktiviti pam pasir berkenaan.
Pada 30 September 2022, Jabatan Perikanan Negeri Pahang mengesahkan pemilik sangkar ikan patin itu berdaftar dengan jabatan terbabit.
Pada 13 Oktober 2022, pemilik sangkar kemudian memohon bantuan kerugiaan kepada kerajaan negeri ekoran kejadian itu.
Luahan sama disuarakan oleh rakan penternak, Abdullah Abdul Rashid, 59, yang mahukan isu itu diselesaikan.
"Semua kita dah beritahu... setiap jabatan fail semua kita dah ada (buat laporan). Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) semua ada.
"Sedihlah, pemimpin-pemimpin mana yang tahu isu ini datang jumpa ke sangkar 13... datang berbincang apa masalah kita," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Pernah hentikan operasi pam pasir
Atas luahan itu, kami seterusnya bertemu dengan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Jelasnya, kerajaan negeri pernah menghentikan operasi pam pasir apabila mendapat aduan daripada penternak sangkar ikan berhubung perubahan hidrologi di Sungai Pahang.
Menurutnya, operasi pam pasir itu bagi mendalamkan sungai.
Dari sudut operasinya pula, pam terbabit akan menyedut pasir di zon ditentukan, bagaimanapun ia menyebabkan mendapan berlaku di sekitar kawasan sangkar patin berhampiran.
"Dia ada satu pam pasir, tak silap saya di sebelah jalan Triang, tapi perkara tersebut telah diselesaikan JPS, saya difahamkan JPS ada satu kaedah untuk menanganinya.
"Saya beritahu kalau sekiranya pam pasir tersebut menyebabkan ikan patin tidak boleh membiak dan beri kemudaratan kita dah bagitau dulu pam pasir tersebut mesti dihentikan," tegasnya.
Kaedah baharu selesai isu mendapan
Mengakui isu terbabit berlaku, jelas Mohd Sharkar, tindakan serta-merta telah diambil termasuk perbincangan bersama JPS serta Pejabat Tanah dan Galian Temerloh.
Malah rundingan bersama penternak juga jelasnya telah diadakan.
"Sebab keutamaan kita beri kepada industri ini dan pernah kita berhentikan pam pasir tersebut, walau bagaimanapun mereka telah adakan rundingan maksudnya pam pasir itu pergi ambil pasir dekat dengan sangkar-sangkar tersebut, sedut pasir di kawasan itu supaya lebih dalam.
"Saya difahamkan ada rundingan dan saya difahamkan telahpun selesai. Jadi kerajaan negeri memang tegas sekiranya pam pasir memberikan kemudaratan kepada industri ikan patin ini kita akan hentikan," katanya lagi.
Menerusi kaedah itu jelasnya, isu mendapan di kawasan sangkar ikan patin boleh diselesaikan dan sebarang kerugiaan terhadap penternak dapat dielakkan.
Selain itu, kerajaan negeri juga jelas Mohd Sharkar, telah menjalankan pemutihan bagi penternak sangkar ikan patin.
Meskipun Lesen Pendudukan Sementara (TOL) diberikan, namun kerajaan negeri juga ujarnya mahu setiap penternak berdaftar dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) agar statistik dan bantuan dapat disalurkan mengikut data yang dikumpul.
Selain isu pam pasir yang disuarakan beberapa penternak, tambahnya terdapat juga isu kenaikan harga makanan ikan patin yang menggusarkan penternak.
Kaji subsidi kurangkan beban penternak
Dari sudut kerajaan negeri, ketika ini jelas Mohd Sharkar, sedang mengkaji subsidi yang boleh diberikan kepada setiap penternak ikan patin sangkar bagi membantu mengurangkan beban golongan itu serta memastikan harga ikan tidak melonjak.
"Dari sudut bantuan, kalau kerajaan dapat berikan subsidi... sekarang harga RM75 untuk satu guni dedak ikan patin, kalau kerajaan berikan subsidi RM25 untuk satu guni, maknanya mereka (penternak) hanya membayar RM50, jadi harga ikan masih lagi boleh dikawal," ujarnya lagi.
Dari sudut pelancongan pula, terdapat perancangan memajukan kawasan Bangau Tanjung untuk dijadikan desa patin buat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Bagi pengusaha yang terjejas, sekiranya ini komitmen kerajaan, sudah tentu mereka mampu menarik nafas lega, agar masa depan aktiviti ternakan ikan patin di Temerloh terus terbela.
*Laporan Fareez Azman bersama Jurukamera Khairulazman Mohamad untuk Astro AWANI