SETIAP hujung minggu, sudah tentu ramai warga kota beriadah bersama keluarga serta rakan-rakan, dan antara aktiviti digemari ketika ini adalah mendaki bukit atau hiking.

Bukit Tabur terletak di Melawati, Kuala Lumpur adalah salah satu lokasi popular dalam kalangan peminat aktiviti ini kerana mempunyai trek sesuai dengan pelbagai tahap, dan menyajikan keindahan flora dan fauna di sepanjang perjalanan.

Paling didambakan pendaki, adalah pemandangan menakjubkan sebaik kaki menjejak di puncak bukit setinggi 396 meter dari aras laut ini.

Namun di sebalik tarikan dan keindahan Permatang Kuarza itu, terselit kebimbangan penduduk serta pendaki yang menyedari terdapat aktiviti penebangan hutan di kawasan itu.

Mereka mendakwa, beberapa kawasan di sepanjang laluan ke puncak kelihatan gondol, dipercayai diterangkan oleh pemilik tanah yang berstatus pertanian itu, untuk pembangunan.

Ibu kota Kuala Lumpur antara pemandangan yang boleh dinikmati dari Bukit Tabur.  - Gambar/ Astro AWANI

Melihat sendiri keadaan sebenar

Saya bersama penduduk ke Bukit Tabur baru baru ini bagi melihat lebih dekat bukti dakwaan berkenaan. Baru 12 minit pendakian, sudah terlihat kawasan tanah persendirian ini mula dibangunkan.

Meskipun milik persendirian, bagi penduduk, mereka khuatir kesan aktiviti berkenaan kepada alam sekitar dan struktur tanah bukit itu sendiri, selain sama ada ia dijalankan mengikut prosedur ditetapkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Imej dirakam dron penduduk Melawati memaparkan kerja-kerja penolakan tanah di Bukit Tabur. - Gambar/ Ihsan penduduk

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati, Mohan Satkunasingam, ancaman bencana alam seperti tanah runtuh adalah perkara amat dikhuatiri penduduk sekitar.

Lebih-lebih lagi apabila beberapa episod tanah runtuh telah berlaku di sekitar kawasan Ampang dan Melawati sejak kebelakangan ini.

"Dalam kes ini sebenarnya kita perhatikan ada pembangunan di kawasan Bukit Tabur, khusus mengikut trail dari tapak sehingga ke pinpoint (lokasi pertama penolakan tanah).

"Kita nampak ada banyak pembangunan, tapi kita nak tahu yang paling penting, sama ada pembangunan ini adalah teratur, maknanya pihak berkuasa tempatan (PBT) ada keluarkan Kebenaran Merancang (KM) kepada mereka ini atau tidak?.

"Sebab mereka sepatutnya membuat permohonan mendapatkan KM. Daripada apa yang diperhatikan daripada trail, kita nampak jelas ada aktiviti di mana tanah tanah ini (berisiko) akan runtuh dalam masa bukan terdekat, atau jangka panjang," dakwanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati, Mohan Satkunasingam, bimbang keselamatan penduduk sekiranya berlaku tanah runtuh. - Gambar/ Astro AWANI

Seorang penduduk yang juga pendaki tegar yang selalu mendaki di bukit itu, Datuk Ajay Ubrani, berkata melihat banyak perubahan sepanjang menetap selama 28 tahun di kawasan berkenaan.

"Saya tinggal di sini lebih 28 tahun... di Kemensah Height. Kawasan ini menjadi trek utama saya untuk joging selang beberapa hari.

"Semua telah saya terokai di Bukit Tabur ini, pemandangan yang cantik membuatkan saya sentiasa memilih bukit ini sebagai lokasi untuk mengeluarkan peluh," jelasnya.

Rekahan tanah dilihat di kawasan yang sudah ditolak oleh pemilik meskipun kerja pemulihan dijalankan. - Gambar/ Astro AWANI

Namun pembangunan yang dijalankan oleh pemilik tanah jelasnya, menggusarkan pendaki serta penduduk sekitar yang mahukan kawasan itu dipelihara

"Pembangunan ini perkara yang penduduk tentang sebelum ini kerana ia dikhuatiri memberi kesan kepada keindahan flora dan fauna di sini.

"Sesuatu tindakan perlu diambil bagi menangani masalah ini, saya lega apabila sebelum ini MPAJ ada megeluarkan notis dan kerja-kerja pembangunan juga dihentikan serta mereka.

"Kita harapkan agar setiap pembangunan mahupun kerja yang dijalankan di kawasan ini mengambil kira suara penduduk Kemensah. Kami tinggal di sini selamanya, jadi kami juga berhak untuk tahu mengenai pembangunan yang dijalankan agar hati kami senang sekiranya mereka mengikut prosedur yang betul," katanya lagi.

Bukit Tabur setinggi 396 meter menjadi tumpuan pendaki dari seluruh negara. - Gambar/ Astro AWANI

Banjir Kampung Kemensah ragut ketenangan penduduk

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Melawati, Abdul Razak Mahmud, berkata kebimbangan penduduk mengenai keselamatan mereka meningkat selepas kejadian banjir di Kampung Kemensah pada Disember tahun lalu.

Katanya, penduduk di kampung terbabit tidak pernah menghadapi banjir sebelum ini, dan bencana berkenaan dakwanya berpunca daripada limpahan sungai berhampiran yang menjadi semakin cetek.

"Pernah berlaku banjir dekat Kampung Kemensah... di tebing sungai, banjir ini tidak pernah berlaku seperti dimaklumkan oleh penduduk. Tetapi hujan lebat pada tahun 2021, sungai itu ada mendapan daripada hakisan tanah bukit, jadi sungai menjadi cetek bila hujan lebat.

"Semalam di Bukit Permai, Ampang kejadian tanah runtuh juga berlaku. Sebelum itu empat orang meninggal dunia, ada rumah musnah (akibat dihempap tanah runtuh), kita tak nak benda yang serupa berlaku di Taman Melawati," ujar Abdul Razak.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Melawati, Abdul Razak Mahmud risau banjir yang berlaku di Kampung Kemensah mungkin terjadi di kawasan mereka. - Gambar/ Astro AWANI

Pendaki luah rasa sama

Beberapa pendaki yang didekati penulis di bukit berkenaan turut menzahirkan rasa kurang senang apabila pemandangan indah Bukit Tabur diusik dengan aktiviti penebangan hutan.

Seorang pendaki, Muhammad Syamil Mohd Kamarul Fahim, antara yang kecewa dengan perkembangan berkenaan.

"Dari jauh nampak dah tak cantik dah, nampak banyak permukaan tanah terbuka (gondol).

"Dari atas nampak bukit sana dah kena tarah, depan kita pun paling dekat sebelah tasik boleh nampak, ini kebun halal ke haram?," katanya

Penolakan tanah yang sempat dirakam dron milik penduduk.  - Gambar/ Ihsan penduduk

Sepanjang pendakian, penulis melihat ada beberapa rekahan tanah berlaku, namun di sebalik cerun yang curam itu, ada juga pokok buluh dan rumput mula ditanam, dipercayai oleh pemilik tanah.

Dengan faktor cuaca tidak menentu dengan taburan hujan luar biasa beberapa kali di ibu negara, sudah tentu kebimbangan disuarakan penduduk berasas.

Terbaharu kejadian tanah runtuh pada 10 Mac lalu menggemparkan Taman Bukit Permai 2, Ampang yang meragut empat nyawa serta seorang mangsa cedera ringan.

Sebanyak 15 rumah serta 10 kenderaan juga terjejas akibat kejadian itu.

Ikuti laporan kedua esok, apakah penjelasan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berhubung isu ini.