PETALING JAYA: Tidak semua hasil bedah siasat ke atas mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin boleh didedahkan kepada umum.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan kesemua laporan hasil bedah siasat kepada umum kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan.

Tegas beliau, setiap maklumat yang diperoleh pihak polis perlu dijaga kerahsiaannya.

"Apabila kita dapat maklumat, sudah pasti Ketua Polis Selangor akan memaklumkan," katanya dalam sidang akhbar semasa berada di lokasi kejadian di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir ke lokasi adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Dalam pada itu, Mohd Fakhrudin mengingatkan orang ramai untuk tidak mensensasikan lagi kisah pilu yang menimpa Allahyarham Zayn Rayyan.

Tegasnya, siasatan akan dilakukan ke atas mana-mana individu yang cuba memberi laporan atau kenyataan tidak tepat sehingga mencemarkan maruah ahli keluarga mangsa.

Malah menurutnya, pihak polis akan buka laporan sekiranya terdapat komen atau kenyataan salah daripada orang awam yang mana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Tindakan tegas juga akan diambil kepada mereka yang menyebarkan maklumat salah sehingga mencemar maruah ahli keluarga mangsa.

"Kita (polis) memandang serius perkara ini," jelasnya. - Sinar Harian