Ringkasan AI
- Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin diberi perlindungan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana mempunyai perwatakan autistik.
- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengesahkan mahkamah telah memberikan perintah penjagaan sementara selama dua bulan kepada JKM sehingga 9 Ogos.
- Nancy Shukri menyatakan bahawa JKM sedang mengenal pasti orang yang layak dan sesuai (OYLS) untuk memberikan penjagaan mutlak kepada adik Zayn Rayyan, yang memerlukan pemerhatian khusus di rumah perlindungan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata buat masa kini, mahkamah telah memberikan perintah penjagaan sementara kanak-kanak itu selama dua bulan sehingga 9 Ogos depan kepada JKM.
Nancy berkata, keadaan semasa kanak-kanak itu yang tidak boleh bertutur memerlukan pemerhatian dan penjagaan khusus.
“Saya difahamkan adiknya pun tidak dapat bercakap jadi memerlukan pemerhatian dan penjagaan khusus dan dia ditempatkan di rumah pelindungan kami. Bukan melabel dirinya autistik namun karakter tersebut ada.
"Dan sementara menunggu keputusan dari mahkamah kita menempatkannya di rumah lindungan kami. Sementara menunggu senarai dan menyerahkannya kepada orang yang layak dan sesuai, kita telah membawanya ke mahkamah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Autism Empowerment Week di Borneo Cultural Museum pada Sabtu.
Ujar Nancy, JKM masih dalam proses mengenal pasti orang yang layak dan sesuai (OYLS) untuk diberi kuasa penjagaan kepada adik Zayn Rayyan.
Pihaknya bagaimana pun telah menyenarai pendek beberapa nama mereka.
"Walaupun OYLS ini memiliki kuasa mutlak untuk menjaga namun sifat dan tempoh penjagaannya adalah berstatus sementara.
"OYLS ini akan diberi kelulusan secara mutlak untuk menjaga nanti... namun akan diberi tempoh sementara juga untuk melihat keserasian.
“Kita akan pastikan OYLS dan anak tersebut diberi tempoh bersama bergantung kepada keserasian mereka sama ada dalam tempoh dua minggu atau dua bulan dan kita akan memantau dari semasa ke ssemasa,” ujarnya.
Tambah Nancy, terdapat kriteria tertentu untuk seseorang individu menjadi OYLS untuk mendapat kuasa penjagaan mutlak.
“Namun begitu, kami harus berhati-hati untuk menyerahkan kepada OYLS kerana anak ini terdapat ciri-ciri khas dan tidak semua penjaga dapat memelihara anak yang mempunyai ciri-ciri autisme dan dia perlu dipantau dengan rapi,” ujarnya.