KUALA LUMPUR: Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin membuat laporan polis berhubung kandungan siasatan yang tular di Telegram Edisi, kononnya pembunuhan itu dilakukan ibu bapa kanak-kanak autisme itu.


Ringkasan AI
  • Zayn Rayyan Abdul Matiin, seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun, ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.
  • Ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun, 2024 atas tuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
  • Selepas dilepaskan dengan ikat jamin, penyebar maklumat yang dikenali sebagai Edisi Siasat mendedahkan maklumat yang dikatakan hasil keterangan pasangan suami isteri tersebut semasa tempoh reman.


Peguam, Fahmi Abd Moin berkata, laporan itu dibuat adik lelaki  Zaim Ikhwan Zahari di Balai Polis Sungai Buloh, dekat sini pada petang Jumaat.

Memetik laporan itu, beliau memberitahu, maklumat yang tersebar itu berbaur fitnah dan melanggar gag order perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah pada Khamis serta bersifat subjudis terhadap ibu dan bapa

"Justeru keluarga mangsa memohon polis untuk menjalankan siasatan untuk memastikan kesahihan hantaran yang tular di media sosial sejak Khamis," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Selain itu kata Fahmi, keluarga mangsa turut meminta satu siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sumber dan individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat itu dalam platform berkenaan.

"Pada masa sama, keluarga Zayn Rayyan turut meminta polis menyiasat pemilik akaun Telegram tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, Fahmi berharap polis menjalankan siasatan secara menyeluruh kerana keluarga mangsa terganggu dari segi emosi dan keselamatan keluarga terjamin.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Pada Khamis, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan telah mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Beberapa jam selepas dilepaskan dengan ikat jamin, penyebar maklumat dikenali 'Edisi Siasat' mendedahkan informasi kononnya ia ialah hasil keterangan membabitkan pasangan suami isteri tersebut, di sepanjang reman berlangsung.