PUTRAJAYA: Pemeriksaan keselamatan oleh "Flying Squad" terhadap lapan empangan berisiko yang dilakukan antara 2021 dan 2022 mendapati empangan berkenaan mengalami kerosakan yang perlu dibaiki selain daripada penyelenggaraan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan semalam berkata lapan empangan itu adalah Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang di Perak, Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang, Empangan Babagon di Sabah, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Hasil pemeriksaan Flying Squad itu menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan, kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

NRECC berkata kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan berkenaan dianggarkan mencecah RM135.82 juta dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan.

"Sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak, Kerajaan Persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan," katanya.

NRECC berkata ia bercadang untuk meneruskan fungsi Flying Squad untuk membuat pemeriksaan ke atas empangan lain terutamanya yang berusia lebih daripada 50 tahun.

Kementerian itu berkata struktur dan tanggungjawab Flying Squad juga akan diperkukuhkan kepada struktur tetap yang dikenali sebagai Pusat Teknikal Empangan (DTC).

Pasukan Flying Squad merupakan struktur ad hoc yang diselaraskan oleh Bahagian Bekalan Air (BBA), NRECC dengan keahlian terdiri daripada pakar daripada pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pihak swasta.

NRECC berkata pemeriksaan empangan oleh Flying Squad menggunapakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan oleh JPS iaitu Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan di Malaysia (MyDams).

-- BERNAMA