LUMUT: Kerajaan Perak bersedia mengesyorkan agar operasi pembenihan awan (OPA) dilakukan semula di kawasan Empangan Bukit Merah, ekoran paras air empangan itu masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata walaupun telah beberapa kali OPA dilakukan dan kawasan itu mengalami hujan, namun ia tidak mengubah paras air empangan.

"Selepas tiga hari iaitu bermula 29 hingga 31 Julai, OPA telah dilakukan di empangan berkenaan dan hasil maklumat kita dapati berlaku taburan hujan di sekitar kawasan itu.

"Walaupun ada sedikit peningkatan namun paras air masih berada tahap bahaya dan kita juga harap berlaku hujan semula jadi di empangan ini dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2024 di Dataran Putra, di sini, hari ini.

Mohammad Nizar berkata walaupun kerajaan boleh mengesyorkan OPA dilaksanakan semula, namun keputusan muktamad berhubung cadangan itu tertakluk di bawah bidang kuasa NADMA dan MetMalaysia.

Beliau berkata operasi itu dilakukan dengan pelarasan antara NADMA, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau mengakui meskipun kos OPA mencecah jutaan ringgit, namun ia kaedah yang agak praktikal dalam membantu penghasilan hujan secara semula jadi.

Semalam, Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus menjelaskan OPA yang dilakukan berjaya menghadirkan taburan hujan sederhana lebat di empangan tersebut.

Terdahulu, Empangan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah dan berada pada tahap bahaya iaitu masing-masing 15.20 peratus dan 19.54 peratus, setakat 15 Julai.

-- BERNAMA