ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak dakwaan penyusutan takungan air empangan di negeri itu disebabkan aktiviti pembalakan.

Beliau berkata kemarau yang panjang menjadi penyebab kepada penyusutan air berkenaan selain penyaluran air serentak untuk kegunaan pertanian, domestik dan industri.

"Tidak ada pembalakan di 72,000 hektar (Hutan Simpan Ulu Muda). Di luar itu (kawasan tadahan air) ada kelulusan lama yang ditebang ikut kuota Jabatan Perhutanan iaitu 4,200 hektar setahun di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mengikut laman web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini, paras air di Empangan Muda berbaki lapan peratus, Empangan Pedu (39.09 peratus) dan Empangan Ahning (81.80 peratus), dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan adalah 43.68 peratus.

MADA dalam kenyataan semalam memaklumkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama tiga hari bermula Isnin lepas mencatatkan penurunan hujan sebanyak dua milimeter (mm) di kawasan tadahan Empangan Muda.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu akan turut mendapat manfaat sekiranya OPA di kawasan Empangan Muda, Kedah berjaya dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata ia berikutan usaha itu akan membantu menyalurkan air ke Sungai Muda.

''Jika hujan turun, maka Empangan Muda dapat diisi semula dengan air hujan dan mereka dapat lepaskan air ke Sungai Muda, jadi Pulau Pinang akan mendapat manfaat sekiranya pembenihan awan di Empangan Muda berjaya," katanya dalam sidang media di pejabatnya di bangunan Komtar hari ini.

Chow berkata menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA), Pulau Pinang telah memohon sebanyak dua kali sejak 19 Julai lepas kepada NADMA untuk melaksanakan OPA di empangan di bahagian pulau.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada NADMA berhubung perkara itu.

-- BERNAMA