Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Azizan Abu Samah berkata, El Nino akan mendorong kurangnya hujan dan berlakunya episod kemarau yang lebih teruk daripada biasa.
“Memang WMO telah meramal dan mencerap bahawa 2023 adalah tahun yang lebih panas daripada biasa disebabkan oleh dua pengaruh iaitu pemanasan global dikuatkan dengan pengaruh El Nino.
“Jadi semasa bulan Januari ke Mac, kawasan utara kita khasnya Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam kini melaporkan suhu maksimum antara 37 ke 41 darjah Celsius,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, Malaysia kini di bawah pengaruh musim antara monsun dari Mac hingga pertengahan Mei sebelum tibanya Monsun Barat Daya.
Azizan berkata, walau bagaimanapun monsun barat daya umummya lebih kurang hujan berbanding dengan monsun antara monsun dan monsun timur laut.
“Jadi apabila kurang hujan bermakna kurang awan dan justeru suhu maksimum boleh meningkat ke 35 ke 37 darjah Celsius.
Sementara itu, pakar Klimatologi, Fredolin Tangang berkata, suhu panas dunia dijangka meningkat 1.58 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu sebelum zaman praperindustrian di Eropah 1850-1900.
Tambahnya, rekod menunjukkan bahawa suhu dunia meningkat semasa fenomena El Nino dan lebih tinggi berbanding trend yang disebabkan oleh fenomena pemanasan global akibat peningkatan gas-gas rumah hijau. “Suhu pada Mac lalu merupakan terpanas sejak 1991 hingga 2020,” katanya. - Sinar Harian