KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menutup sementara landasan kereta api dari Kempas Baru ke Pelabuhan Johor di Pasir Gudang, Johor bagi menjalankan kerja-kerja pemulihan dan menaik taraf di sepanjang laluan berkenaan.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan sementara landasan kereta api sepanjang 40 kilometer itu dijangka selama enam bulan, telah diarahkan oleh pengawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana landasan semakin merosot.

"Pembangunan bandar di sepanjang laluan kereta api telah memburukkan lagi isu perparitan dan meningkatkan tekanan ke kawasan sekitar.

"Selain memerlukan pembaikan besar untuk menampung permintaan yang semakin tinggi daripada kereta api barangan yang lebih berat dan laju, kerja-kerja pemulihan juga akan tertumpu kepada menempatkan semula setinggan yang menceroboh kawasan simpanan kereta api dan meningkatkan sistem saliran air untuk mencegah banjir yang disebabkan oleh pembangunan bandar," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat KTMB Suhaimi Yaacob dalam kenyataan sama berkata projek yang bermula 2016 menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu menghadapi kelewatan yang tidak dapat dielakkan.

"Bagaimanapun, KTM Kargo akan meneruskan operasi dengan menggunakan landasan Pemindahan Antara Terminal (TTT) antara Port Tanjung Pelepas (PTP), Pasir Gudang dan Port Klang, beroperasi dalam pergerakan yang terhad bagi mengehadkan perjalanan kepada empat kali sehari walaupun permintaan perkhidmatan kargo adalah lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama APAD, KTMB dan Railway Asset Corporation (RAC) akan menyelia projek itu untuk memastikan pelaksanaan tepat pada masanya.

"Dalam tempoh ini, KTMB akan menyediakan penyelesaian alternatif untuk perkhidmatan kargo bagi menampung keperluan perniagaan yang berterusan," katanya.

Beliau menegaskan pihak berkuasa berkaitan tetap komited dalam menyelesaikan isu itu dengan cekap, memastikan laluan dibuka semula sebaik kerja pemulihan dan penyelenggaraan selesai sepenuhnya.

-- BERNAMA