SEREMBAN: Industri rel menawarkan kira-kira 25,000 peluang pekerjaan yang perlu dimanfaatkan oleh lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang tersebut.


Ringkasan AI
  • Industri rel menawarkan kira-kira 25,000 peluang pekerjaan kepada lepasan TVET, dengan gaji premium sekurang-kurangnya RM3,000 untuk lepasan UniKL dan institusi TVET lain.
  • UniKL terlibat dalam melatih tenaga profesional dan teknikal vokasional dalam pelbagai bidang, termasuk MRO kapal terbang, kereta api, dan kapal laut.
  • Destini Berhad dan RAILTEC berkolaborasi dengan KTMB untuk melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang rel, membuktikan potensi syarikat tempatan sebagai pesaing utama dalam industri ini.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memberi penekanan bahawa gaji premium akan diberikan kepada lepasan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan institusi TVET lain, iaitu sekurang-kurangnya RM3,000.

"Kesempatan ini diambil oleh UniKL untuk menerobos bidang baharu yang selama ini dikuasai oleh pihak luar.

"Saya memberi penekanan bahawa gaji premium bagi lepasan UniKL dan institusi TVET lain dalam bidang rel ini dengan syarikat terlibat adalah minimum RM3,000, yang boleh meningkat kepada RM5,000 hingga RM7,000 atau lebih, bergantung kepada kepakaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Majlis Penyerahan Kembali Kereta Api Kelas SCS 92 yang dipulihkan di bawah projek Penyelenggaraan, Pembaikan, dan Pengubahsuaian (MRO) oleh M Rail Technics Sdn Bhd (RAILTEC) di Depoh EMU, Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban.

Turut hadir  Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi UniKL Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan Pengerusi Kumpulan Destini dan Railtec Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Ahmad Zahid berkata, seiring dengan matlamat menuju negara maju, UniKL turut terlibat secara langsung melatih tenaga profesional dan teknikal vokasional dalam semua bidang, termasuk MRO kapal terbang, kereta api, dan kapal laut, termasuk pembikinan kapal.

Beliau menjelaskan bahawa UniKL menumpukan dalam bidang elektronik, dan seterusnya, TVET tidak lagi terhad kepada bidang konvensional tetapi juga berkemahiran teknologi.

"Kita tahu bahawa ada The East Coast Rail Link (ECRL)…akan datang akan ada Kuala Lumpur-Singapura High Speed Rail (HSR), ia menyamai bidang ini, kita masih belum mendapat ketentuan siapa akan peroleh kontrak itu tetapi, UniKL sanggup bekerjasama dengan semua pihak diberikan tugas operasi projek tersebut nanti," katanya.

Dalam pada itu, bagi program tersebut, Ahmad Zahid berkata, usaha Destini Berhad dan RAILTEC adalah kesinambungan untuk melatih anggota profesional dan teknikal tempatan setanding dengan tenaga kerja luar negara dalam bidang rel.

"Keberadaan saya di sini adalah untuk melihat komitmen UniKL dan Destini Berhad dalam merealisasikan hasrat kerajaan bahawa tenaga profesional dan teknikal tempatan juga sama baiknya dengan tenaga profesional dan teknikal luar negara," katanya.

"MRO di dalam bidang kereta api ini sesuatu yang baharu, Destini Berhad berkolaborasi dengan KTMB membuktikan bahawa syarikat tempatan berpotensi menjadi pesaing dan pemain utama industri rel ini,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid menggalakkan lebih ramai pelajar Maahad Tahfiz untuk menyertai bidang TVET termasuk memenuhi keperluan teknikal industri rel.

“Sebagai contoh, dalam sektor penerbangan, kita bangga dengan kejayaan Norazian Mohd Sobri, seorang hafizah dan lepasan Madrasah Hasanah serta UniKL MIAT, yang kini berjaya sebagai jurutera penerbangan di Thales Singapura,” katanya.

Sementara itu, Destini Berhad dalam kenyataan menegaskan bahawa pencapaian syarikat ini mencerminkan komitmennya untuk mengukuhkan industri rel tempatan, serta menandakan satu pencapaian penting sebagai kontraktor MRO Tahap 4 Malaysia.

Pensijilan maju ini membolehkan Destini melaksanakan penyelenggaraan besar-besaran dan pembaikan utama bagi peralatan rel dan infrastruktur di kemudahan khusus, sekali gus menunjukkan kecanggihan teknikal syarikat dalam mengendalikan penyelenggaraan sistem rel yang kompleks.

RAILTEC telah menempatkan dirinya sebagai penyedia perkhidmatan MRO terkemuka, kini menggajikan seramai 160 pekerja mahir yang membawa pengalaman berharga daripada KTMB.

-- BERNAMA