KTMB dalam satu kenyataan berkata, antara laluan yang terlibat ialah JB Sentral-Tumpat, Tumpat-JB Sentral, Gemas-K. Lipis, K. Lipis-Gemas, Tumpat-K. Lipis dan Kuala Lipis-Tumpat (bermula di Gua Musang).
Seterusnya, Gua Musang-Tumpat (tamat di Dabong), Tumpat-Gua Musang, Tumpat-Dabong, Tumpat-Gua Musang dan K. Lipis-Tumpat (ditamatkan di Gua Musang).
Sebelum ini dilaporkan hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 59,232 orang telah dipindahkan ke 221 PPS setakat pagi ini, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 22,156 orang di 53 PPS, diikuti Tumpat (8,434 mangsa, 17 PPS); Kota Bharu (5,944 mangsa, 31 PPS); Kuala Krai (5,253 mangsa, 39 PPS); Tanah Merah (4,366 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,844 mangsa, lapan PPS). - Sinar Harian