BUKIT MERTAJAM: Setiap kali berlakunya banjir, wajah-wajah penduduk kampung inilah yang menjadi penghuni di pusat pemindahan sementara (PPS) Bukit Teh, Seberang Perai Tengah, di sini.

Itu luahan mangsa bajir di Kampung Bukit Teh ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.

"Dulu tak berapa sangat, la nie, kalau hujan lebat dua jam, ayaq naik, tu la, takut pasai sungai penuh.

"Ini yang kelmarin tak berapa teruq sangat, teruq.. teruq.. la, tapi ayaq tak deras sangat, parit depa dah korek dalam, dulu sana masuk sini masuk, habis semua barang dalam rumah, lah nie tak beli apa-apa (barang) lah, beli semua jahanam," kata mangsa banjir, Rahimah Ibrahim yang menetap di perkampungan itu sejak 10 tahun yang lalu.

Menurutnya, masalah banjir yang berlaku di Kampung Teh itu dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang barangkali sudah lapuk.

Pun begitu, Rahimah, 73, mengakui masalah banjir bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya setiap kali hujan lebat penduduk kampung sudah bersedia untuk pindah ke PPS berdekatan, tanpa perlu menunggu arahan pasukan keselamatan.

SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI

Sementara itu, Nur Azeemah Mohd Yusri, 29, yang masih lagi berpantangs selepas melahirkan anak ketiganya berkata, kedudukan kampung itu yang rendah selain pembangunan baharu di sekitar kawasan itu menyebabkan Kampung Bukit Teh kerap dinaiki air sejak kebelakangan ini.

"Setiap kali hujan lebat, kami memang standby, kemas baju semua siap-siap. Tengok kalau ayaq sungai depan dan belakang penuh, takut ayaq atas turun, jadi dia akan penuh.

"Macam semalam, bomba datang ambil, sebab depa takut kalau lambat takde bantuan, pernah dulu tengah malam, pernah usung bapa keluar," tambahnya.

Bagi Zaiton Fatimah Hashim, 55, pula pengalaman arwah suaminya yang terperangkap sewaktu banjir sebelum ini menjadikannya trauma sehinggakan memori itu kembali bermain di mindanya pada setiap kali hujan lebat.

"Sebab itu, sekarang kalau ayaq naik sikit pun, kami semua keluar pi dewan (PPS) sebelah," katanya.