KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Pacific Senior Living (Pacific) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengenal pasti punca kebakaran dan menilai kerosakan bangunan lama KWSP di Petaling Jaya yang terbakar pagi Isnin.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan berkata Pacific merupakan pihak pemaju yang sedang melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian semula bangunan tidak berpenghuni yang terletak di Jalan Gasing itu sebagai kemudahan kediaman warga emas selepas memeterai perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan KWSP pada 6 April 2022.

Katanya Pasific telah memulakan kerja-kerja perobohan di bahagian dalam bangunan mengikut rancangan pengubahsuaiannya.

Dalam kejadian kebakaran pada pagi Isnin, dilaporkan bangunan terbakar hanya melibatkan tingkat 4 dan tingkat 5 dengan insiden tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ini merupakan kebakaran kali kedua bangunan tersebut selepas insiden sama pada 2018.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba atas tindakan pantas dalam mengawal kebakaran tersebut.

-- BERNAMA