Peruntukan kuota khas 1 peratus dalam pengambilan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai penjawat awam tidak akan terjejas susulan rancangan pengecilan saiz penjawat awam yang sedang dipertimbangkan kerajaan ketika ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kerajaan masih memerlukan ramai individu berkelayakan dalam kalangan OKU bagi memenuhi kekosongan sedia ada dalam sektor awam.

Katanya, kuota khusus untuk golongan istimewa itu akan dilindungi kerajaan secara berterusan bagi memastikan penyertaan mereka dalam dasar dan pembangunan negara sentiasa terpelihara dan diutamakan.

"Tidak.. (pengecilan penjawat awam tak jejas 1 peratus kuota) kerana kita nakkan ramai lagi menjawat jawatan itu.

"Sebab jika diikutkan situasi sekarang ini, belum lagi dipenuhkan kekosongan (penjawat awam), jadi kita nakkan tempat tempat yang khusus untuk OKU itu dikekalkan untuk mereka penuhi," katanya.

Beliau ditemui pemberita di majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang untuk Orang Cacat Penglihatan, 2017/2018 di Dewan Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Turut hadir Bendahari Kehormat Persatuan Buta Malaysia (MAB), S. Santhirasegaran merangkap pengerusi majlis tersebut.

Ditanya sama ada kuota 1 peratus sedia ada akan dipertingkatkan kepada dua peratus atau sebaliknya, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu menegaskan kerajaan ketika ini memberi tumpuan untuk memenuhi satu peratus sedia ada.

"Kita nak pastikan peratus sedia ada dipenuhi dahulu oleh OKU dalam perkhidmatan kerajaan,"katanya lagi.
Justeru ujar beliau, kerajaan juga memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan komitmen majikan sektor korporat dan swasta.

Setakat ini, katanya, kementeriannya telah melepasi sasaran kuota 1 peratus itu dengan 144 jawatan (1.77 peratus) diisi OKU daripada keseluruhan 8,138 jawatan.

Ia diikuti Kementerian Pertahanan iaitu 0.98 peratus jawatan diisi OKU manakala Pejabat Sekretariat Terengganu pula di tempat ketiga dengan 0.97 peratus kekosongan jawatan diisi OKU.