KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menunaikan umrah di Makkah pada Rabu.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengerjakan ibadah umrah sebaik tiba di Jeddah pagi tadi.

Turut mengiringi Perdana Menteri bagi mengerjakan ibadah umrah ialah  Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta delegasi Malaysia.

Perdana Menteri dalam kenyataan di laman Facebook berkata, beliau mendoakan kesejahteraan buat rakyat, negara serta usaha menjadikan Malaysia kembali kuat dan gah diberkati Allah S.W.T.

Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan selamat tiba di negara Timur Tengah itu sekitar 6.40 pagi waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi.

Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja tiga hari di negara itu atas undangan kerajaan Arab Saudi.

Sebaik tiba Anwar disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud bin Abdullah bin Jalawi Al Saud dalam upacara sambutan rasmi dengan kawad statik.

Ia merupakan lawatan rasmi negara luar Asean pertama bagi Anwar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas.