Kuasa politik Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno membolehkan Melayu dan bumiputera nikmati kehidupan lebih baik termasuk dalam pendidikan.

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program seperti Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 menjadi bukti kerajaan sentiasa mengambil berat pendidikan anak-anak golongan itu.

"Kedudukan anak Melayu dan Bumiputera termasuk yang berada di Sabah dan Sarawak dan Orang Asli lebih baik kerana apa?...kerana perjuangan Umno yang bawa perubahan termasuk menerusi program JPB.

"Kalau pihak pembangkang, yang ditunjangi DAP, jangan harap ada program seperti ini akan dilaksanakan mereka. Ini mesti kita faham, apa yang kita lihat hari ini tidak boleh dipisahkan dengan kekuasaan politik kerana inilah yang menentukan kemungkinan segala-galanya berlaku," katanya ketika merasmikan program Jelajah Pendidikan Bumiputera di Padang Awam Majlis Daerah Bera di sini, hari ini.

Dianggarkan kira-kira 15 ribu penduduk sekitar dan generasi muda hadir pada majlis itu.

Pada majlis sama, perdana menteri turut melancarkan aplikasi JPB4U bagi memudahkan pelajar mendaftar untuk menyertai program berkenaan.