HULU SELANGOR: Terbentuknya Kuala Kubu Baharu melalui beberapa fasa termasuk peristiwa empangan pecah meragut 33 nyawa pada 24 Oktober 1883.

Jika pergi ke Kuala Kubu Baharu pasti akan ternampak papan tanda Ampang Pecah yang namanya diambil sempena kejadian berkenaan.

Dalam catatan sejarah telah disebutkan bagaimana empangan yang dibina sekitar 1780 menjadi kegunaan utama bagi aktiviti melombong bijih timah.

Ia dibuat daripada batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor.

Empangan tersebut pecah susulan hujan lebat menyebabkan banjir besar menenggelamkan Pekan Kuala Kubu menghanyutkan rumah penduduk dan mengorbankan nyawa serta harta benda.

Antara yang terkorban ialah Pegawai Daerah dan Majistret berbangsa Inggeris bernama Cecil Ranking.

Masjid Warisan Ampang Pecah merupakan satu-satunya bangunan yang terselamat dalam peristiwa tersebut dan masih utuh hingga kini yang dinobat sebagai masjid warisan.

Presiden Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Perkubu), Ridzuan Idris berkata, terdapat beberapa faktor berlakunya empangan pecah selain hujan lebat.

Ridzuan menunjukkan catatan sejarah peristiwa ampangan pecah dan pembentukan bandar Kuala Kubu.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian dikatakan Cecil Ranking ada membaling tiga bom ke kawasan itu untuk memecahkan batu.

"Dia bercadang untuk membuka jalan baru dari Kuala Kubu ke Serendah namun itu bukan menyebabkan empangan pecah kerana kejadian berlaku beberapa hari kemudian.

"Dahulu hujan lebat di Kuala Kubu merupakan perkara biasa kerana kawasan tadahan hujan dan berada di lembah jadi apabila selalu hujan akan menyebabkan banjir," katanya.

Katanya, penggunaan bom itu menyumbang kepada faktor empangan pecah disebabkan usia empangan tersebut sudah melebihi 100 tahun, struktur lama dan diperbuat kayu.

Selain itu katanya, pakar sejarah juga percaya kejadian gunung berapi Krakatau, Pulau Sunda yang meletus pada 1883 antara penyumbang kepada peristiwa berkenaan.

"Gegaran itu sampai ke Selangor sedikit sebanyak memberi kesan struktur kubu yang membawa kepada empangan pecah," katanya.

Masjid Warisan Al-Hidayah Ampang Pecah yang terselamat dalam peristiwa ampangan pecah 1883.

Katanya, Cecil Ranking yang ketika itu berusia 26 tahun disifatkan sebagai seorang yang rajin dan mempunyai perancangan untuk memajukan Kuala Kubu.

"Salah satu perancangannya untuk memindahkan bandar lama ke kawasan lebih tinggi tapi cadangan tersebut tidak sempat untuk dilaksanakan.

"Siasatan oleh jawatan kuasa inkues mendapati Cecil Ranking berada di rumah ketika kejadian dan dia boleh menyelamatkan diri tetapi tidak berbuat demikian kerana yakin rumah kukuh namun akhirnya mati lemas di situ," katanya.

Selepas kejadian itu katanya, kemusnahan harta benda menyebabkan ramai penduduk berpindah ke Hulu Selangor.

"Apabila melihat ramai orang Melayu telah meninggalkan kawasan ini, orang Inggeris melihat potensi sebagai pusat pentadbiran dan perlombongan.

"Mereka membangunkan semula Kuala Kubu di tempat sama di tepi Sungai Selangor sehingga menjadi bandar ketiga terbesar di Selangor selepas Klang dan Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, Kuala diambil sempena pertemuan Sungai Kubu dan Sungai Selangor sementara Kubu pula sempena kubu Syed Masyhur.

Ujarnya, Kuala Kubu kemudian beralih ke fasa Kuala Kubu Baharu yang kini menjadi sebuah bandar dalam taman. - Sinar Harian