Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menyiasat punca kejadian perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan tiga gerabak komuter bergesel berhampiran Stesen Kuang sehingga mengancam keselamatan 122 penumpang pada petang Jumaat.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad 'Asri Khalbi, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti buat masa ini.

“Kami sedang mengkaji semua aspek dan masih terlalu awal untuk menentukan apakah punca kejadian," katanya.

Dalam kejadian jam 6.37 petang itu, seorang penumpang komuter cedera ringan dan diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang.

Ketika ini, semua agensi berkaitan termasuk agensi pengangkutan awam darat (apad) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.


Beliau berkata, insiden itu menjejaskan jadual perjalanan untuk tempoh beberapa hari, namun tidak menyebabkan perubahan besar kepada jadual.

“Kita akan beri keutamaan kepada tren-tren penumpang supaya penumpang masih dapat melakukan perjalanan berdasarkan jadual perjalanan sedia ada.

“Buat masa ini, kelewatan tersebut hanyalah berlaku apabila tren-tren yang berkaitan melalui kawasan lokasi kemalangan.