Ee Wei yang menjangkau usia 24 tahun Khamis lepas memerlukan 16 jahitan berikutan kecederaan dialami akibat terkena serpihan kaca selepas dia tergelincir ketika memegang dumbel dalam kejadian 3.30 petang itu.
Bagaimanapun, Ee Wei bernasib baik kerana kecederaan itu adalah pada lengan kirinya dan bukannya tangan digunakan untuk bermain.
"Saya masih boleh menganggap diri saya bernasib baik kerana kaca itu tidak mengenai kepala saya atau tangan untuk bermain, jika tidak ia boleh jadi cerita yang lain. Walau bagaimanapun, saya masih mengalami koyak otot belakang tahap dua.
"Saya kemudiannya dikejarkan ke hospital oleh salah seorang ahli fisioterapi di ABM selepas diberitahu kami perlu menunggu lebih lama untuk ambulans," kata Ee Wei yang kini berehat di kampung halamannya di Bachang, Melaka.
Juara Terbuka Korea 2024 itu berkata ibu bapanya begitu bimbang sehingga mereka datang dari Melaka untuk melihatnya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Penyertaan Ee Wei dan pasangannya Chen Tang Jie dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 Terbuka Denmark dari 15-20 Okt akan bergantung pada pemulihannya yang mungkin mengambil masa dua minggu.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika dihubungi berkata akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky mengesahkan bahawa Ee Wei mengalami kecederaan di tangan kiri dan belakang menyebabkan dia terlepas beberapa kejohanan termasuk Terbuka Artik dan Denmark.
"Ee Wei memerlukan beberapa jahitan dan tidak dapat bermain dalam beberapa kejohanan akan datang. Apa yang penting dia baik-baik sahaja dan kami menjangkakan dia akan pulih dalam beberapa minggu.
"Keadaannya sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan dan kami akan memberikan maklumat terkini mengenai perkembangannya dalam masa terdekat," katanya dalam siaran media sosial BAM malam ini.
BAM juga mendoakan agar dia cepat sembuh dan tidak sabar untuk melihatnya kembali beraksi di gelanggang tidak lama lagi, kata siaran itu.
-- BERNAMA