Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Zaini Ujang berkata politeknik penting kerana ia selaras dengan keputusan kerajaan untuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Setakat ini, terdapat 35 politeknik di seluruh negara dengan dua lagi sedang dibina iaitu di Tawau, Sabah dan Lumut, Perak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Besut di Bukit Keluang dekat sini hari ini.
Beliau turut menyeru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia agar memilih untuk melanjutkan pengajian ke politeknik termasuk Politeknik Besut yang beroperasi di bangunan baharu yang siap pada 2022.
"Pembinaan Politeknik Besut melibatkan kos RM190 juta termasuk RM20 juta bagi perolehan peralatan. Bagaimanapun, jumlah pelajar tidak sampai 400 orang berbanding kemudahan asrama untuk 480 pelajar.
"Politeknik Besut menawarkan tiga program buat masa ini iaitu Teknologi Maklumat, Reka Bentuk Kraf dan Reka Bentuk Fesyen Batik," katanya yang berharap bilangan pelajar di politeknik itu bertambah kepada 1,200 orang dalam tempoh dua tahun akan datang.
-- BERNAMA