KOTA TINGGI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan agar institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa 'turun padang' dalam usaha membantu masyarakat menyelesaikan isu setempat.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata IPT perlu proaktif dalam melaksanakan inisiatif berkenaan sekali gus memperkasakan peranan dan sumbangan institusi itu dengan menyampaikan ilmu, kepakaran dan teknologi yang ada kepada masyarakat.

"Saya tekankan kerana ia memang sesuatu yang amat diharapkan oleh kementerian supaya setiap universiti dalam negara termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan libat urus dengan masyarakat melalui program 'outreach'.

"Ilmu dan kepakaran yang didapati daripada penyelidikan harus diaplikasikan oleh masyarakat," katanya ketika berucap melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial UPM, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM Prof Dr Ismi Arif Ismail.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata antara perkara yang diberi perhatian ketika ini ialah isu keterjaminan makanan yang menuntut kepakaran dan penyelidikan di IPT bagi menyelesaikan perkara berkaitan pertanian serta perladangan.

Beliau turut berharap agar daerah Kota Tinggi turut menjadi makmal lapangan atau antara stesen pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan UPM bagi melestarikan usaha berkenaan.

"Saya berasa perlu untuk kita menghubungkan masyarakat Kota Tinggi yang sebahagian besarnya menjayakan aktiviti pertanian dan penternakan, (kerana) ini merupakan satu pendekatan yang terbaik dalam usaha kita membangun dan memajukan komuniti daerah ini.

"(Malah) dengan penyelesaian isu berkenaan, ia mampu meningkatkan produksi dan pengeluaran hasil serta menjana pendapatan lebih kepada komuniti (setempat)," katanya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled mahu ilmu dan kepakaran yang berterusan serta disusun dengan cara yang sesuai dan mudah untuk dipraktikkan, selain program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

-- BERNAMA