Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff berkata, kelulusan rasmi telah diterima daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada bulan lepas.
"Kini, pihak kami sedang dalam proses mendaftarkan nama baharu GMI sebagai GMI-University College of Applied Sciences (GMI-UcAS)," katanya kepada Astro AWANI.
Menurut beliau, transformasi ini memperkukuh pengiktirafan antarabangsa dan memperluas peranan Malaysia sebagai hab utama TVET canggih di rantau ini. Ini juga membuka peluang untuk Malaysia memperkenalkan kepakaran dalam teknologi kritikal dan keselamatan siber ke peringkat global.
"Dengan sokongan penuh daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC), langkah ini seiring dengan hala tuju negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi melalui penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovasi sekaligus memperteguh kedudukan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang berdaya saing dan mampan," ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff
Dalam itu, Ahmad Solihin berkata, ia juga sejajar dengan falsafah latihan dan visi GMI, di mana amat penting untuk memastikan pendekatan pendidikan yang kompetitif serta responsif kepada permintaan industri.
"Justeru itu, aplikasi teori dalam kerja amali yang merangkumi 60-70 peratus masa latihan dapat menghasilkan modal insan yang kompeten serta berorientasikan praktikal, inovatif, dan berupaya untuk menjadi pelajar sepanjang hayat seperti yang dikehendaki industri. Ini semua akan diteruskan selepas proses naik taraf status diberikan," ujar beliau ketika Majlis Konvokesyen GMI kali ke-30, yang disempurnakan oleh Duta Besar Republik Jerman, Dr. Peter Blomeyer.
Majlis konvokesyen pada tahun ini meraikan 349 graduan Diploma dari Sesi Akademik 2023/2024. Selain itu, 8 lagi bakal graduan adalah dari program German Dual Vocational and Training (GDVT), yang merupakan inisiatif kerjasama antara GMI, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan pemain-pemain industri Jerman terpilih melalui Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) yang menerima sijil mereka masing-masing.
Sebahagian tenaga akademik GMI dan graduan di Majlis Konvokesyen GMI ke-30 yang meraikan 349 graduan diploma dan lapan lagi bakal graduan program German Dual Vocational and Training (GDVT)
Dengan pengalaman di dalam bidang industri pendidikan teknikal, sejak tahun 1995 sehingga kini, GMI telah melahirkan seramai 13,267 graduan daripada program diploma.
Graduan pertama GMI adalah seramai 57 orang yang telah menamatkan pengajian masing-masing pada tahun 1995.
Selain program Diploma, GMI yang disempurnakan penubuhannya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1994, turut menawarkan Program Persediaan Universiti ke Jerman (GAPP); Program Asasi GMI-UTP (GUFP); Program German Dual Vocational Training (GDVT); Program Bahasa Jerman dan Bahasa Inggeris (TELC & IELTS); Pendidikan & Pembangunan Tenaga Pengajar; Perkhidmatan Industri & Konsultasi dan Kursus-kursus Jangka Pendek.
"GMI perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman lebih 30 tahun mengelola institusi ini akan merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah kolej universiti," kata Ahmad Solihin.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan pelajar di luar sana, agar terus memilih GMI sebagai salah satu institusi keutamaan untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan TVET di negara ini.
GMI merupakan sebuah projek usaha sama di antara Kerajaan Malaysia dan Republik Persekutuan Jerman di mana badan-badan pelaksana ialah MARA dan Agensi Bantuan Kerjasama Teknikal German (GTZ), sekarang dikenali sebagai Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit atau Persatuan Jerman untuk Kerjasama Antarabangsa, GIZ).
Ditubuhkan pada 1991, GMI adalah sebuah pusat latihan kemahiran berteknologi tinggi dalam bidang Teknologi Pembuatan dan Elektronik Industri dengan matlamat utama penubuhannya adalah untuk membantu industri Malaysia dengan menghasilkan tenaga kerja berketerampilan tinggi yang berupaya menggabungkan pengetahuan teori serta latihan amali melalui pendekatan latihan dan pendidikan model Jerman.