PUTRAJAYA: Pembangunan infrastruktur di institut pengajian tinggi dan program pengantarabangsaan universiti antara fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Belanjawan 2025.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, fokus berkenaan turut meliputi pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di universiti mahupun politeknik seiring dengan perkembangan teknologi itu yang semakin meluas.

"Kita juga harapkan bajet yang berkaitan dengan soal penambahbaikan dari segi kemudahan di universiti, baik pulih universiti dan politeknik dengan peralatan usang yang perlu kita diganti.

"Kita harap supaya program pengantarabangsaan pendidikan tinggi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Begitu juga mengenai pembanguan AI, ia merupakan satu daripada perkara penting kerana melibatkan perkembangan pendidikan masa kini yang perlu diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KPT, di sini, pada Isnin yang turut dihadiri penulis dan profesor dari Amerika Syarikat, Khaled A. Beydoun sebagai tetamu jemputan.

Zambry dalam pada itu berkata, KPT bakal menganjurkan Festival of Ideas pada November ini di Putrajaya iaitu program yang mengetengahkan hasil kajian dan penyelidikan anak Malaysia yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Dengan hasrat menjadikan festival itu sebagai program khusus kementerian, beliau berkata inisiatif tersebut akan menonjolkan kelebihan KPT dengan penglibatan IPT tempatan dan serta penganjuran program sampingan yang lain.

"Kita tengok Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Kedua-dua program berkenaan mempunyai tarikan tersendiri dan mampu menarik ribuan pengunjung dan Festival of Ideas diyakini akan menjadi program utama untuk KPT," katanya.

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya turut menitipkan pesanan kepada pihak universiti agar sentiasa peka dengan keperluan pelajar terutama daripada golongan B40 dan menyalurkan bantuan berkaitan.

Pada masa sama beliau mengingatkan agar pemantauan turut dilakukan terhadap sesetengah kes terpencil iaitu mungkin wujud golongan tertentu yang mengambil kesempatan ke atas bantuan pihak universiti.
- BERNAMA