KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses menggubal Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah di Parlimen bulan depan sebagai langkah proaktif menangani isu keciciran murid di peringkat menengah.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dasar tersebut juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. 

Katanya, rang undang-undang (RUU) itu turut bertujuan mengatasi isu ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang. 

"Jadi, kita harap ini semua adalah langkah-langkah yang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Langkah ini bagi mengatasi isu-isu berkaitan kehadiran, keciciran, dan peningkatan kualiti pendidikan dalam negara," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan perkara tersebut telah selesai proses semakan di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC). 

RUU yang dipinda daripada Akta Pendidikan 1996 itu mewajibkan pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang.