Kenyataan negara disampaikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Sidang Kemuncak kumpulan itu di sini hari ini.
“Malaysia menyeru sekeras-kerasnya agar gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, dan untuk bantuan kemanusiaan tanpa had dibenarkan masuk ke Gaza.
“Kami terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, berganding bahu, sehingga mereka diberi hak untuk menentukan nasib sendiri sebagai sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya.
Rafizi berkata, tindakan Zionis yang mengabaikan gesaan komuniti antarabangsa kini meningkatkan risiko konflik merebak dan menggugat kestabilan seluruh rantau Asia Barat.
Tambahnya, Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa di Lubnan yang telah mencederakan beberapa anggota pengaman.
“Pada masa ini, Malaysia turut menghantar pasukan pengaman (ke Lubnan) iaitu Malbatt 850-11 yang terdiri daripada 833 anggota yang ditugaskan di Tibnin dan Marakah.
“Majlis Keselamatan PBB perlu melakukan penstrukturan semula secukupnya untuk memastikan Israel berhenti meletakkan nyawa dalam bahaya,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan kebimbangan Malaysia mengenai dasar perlindungan perdagangan yang semakin meluas di peringkat global.
Katanya, itu memburukkan lagi realiti bahawa negara-negara selatan global kekal tersisih dan tidak mempunyai suara besar di pentas global.
“Bagi Malaysia, BRICS bukan saja satu bentuk penolakan kepada perkara ini, tetapi juga penyelesaian.
“Ketika aturan kuasa dunia semakin berbentuk multipolar, BRICS menjadi daya pengimbang yang baik.
“Jika negara anggotanya berjaya mendokong keterhubungan ekonomi yang lancar, potensi pertumbuhan amat tinggi,” katanya,
Rafizi berkata, kemunculan multilateralisme yang lebih seimbang bakal memangkin integrasi ekonomi yang lebih kukuh, sekaligus memberikan lebih banyak peluang kepada negara membangun untuk mengejar pembangunan infrastruktur, pemindahan teknologi dan peningkatan kapasiti.
Ini katanya, adalah prinsip sama yang akan dijuarai Malaysia ketika mempengerusikan ASEAN tahun hadapan.
“Tatkala kami mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kami melihat sinergi yang baik antara ASEAN dan BRICS.
“Sama ada ASEAN atau BRICS, ada persamaan dalam pandangan dunia kita. Apabila sebahagian dunia semakin melihat ke dalam, kita tetap tekad menjalin hubungan terbuka dengan dunia luar.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, kami sedang merangka kedudukan baharu untuk Malaysia terokai, yang didasarkan kepada diplomasi ekonomi.
“Ini juga didasarkan kepada neutraliti kami yang mengeratkan hubungan ASEAN dan BRICS, di mana kita menjadi titik penting bagi negara-negara yang ingin menolak trend semasa,” katanya.
Sidang Kemuncak BRICS ke-16 yang berlangsung selama tiga hari memberikan fokus kepada agenda pertumbuhan ekonomi dan peluasan keanggotaan.
Ia merupakan kali pertama Malaysia menghadiri dan memberikan ucapan di sidang tersebut.
BRICS ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China pada 2009, sebelum disertai Afrika Selatan pada 2010.
Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menjadi ahli terbaharu bermula 1 Januari 2024.
Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat negara untuk menyertai BRICS dalam perbualan bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.