KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan sentiasa memastikan kepentingan negara terjaga dan terpelihara ketika Malaysia menyertai semua organisasi antarabangsa, termasuk BRICS.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, BRICS ditubuhkan berdasarkan prinsip muafakat dan memberi penekanan terhadap kedaulatan dan integriti teritorial negara-negara Anggota.

Menurutnya, BRICS mengamalkan dasar tidak mempengaruhi dan mencampuri hal-hal dalaman negara-negara anggotanya.

Jelasnya, negara-negara BRICS mengutamakan prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan keterangkuman dalam proses kerja dan segala keputusan dibuat berdasarkan konsensus.

“Kerajaan berpandangan bahawa penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil, dan berdaya tahan.

“Dalam hal ini, ia diyakini akan memberikan kesan yang positif ke atas kemajuan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Ini kerana ia berupaya untuk membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara yang seterusnya dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI), dengan negara-negara anggota BRICS.

“Ia sekali gus mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, menjawab soalan dibangkitkan V Ganabatirau (PH - Klang) yang bertanya bagaimana kerajaan akan memastikan organisasi BRICS tidak mempengaruhi urusan domestik dan politik negara.