UMUM mengetahui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan pendekatan serampang tiga mata dalam membanteras jenayah rasuah di Malaysia, iaitu melalui tindakan operasi, pencegahan dan pendidikan antirasuah.

Namun, satu peranan penting yang jarang diketahui masyarakat ialah suruhanjaya itu juga bertanggungjawab menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta.  Aspek ini adalah antara matlamat utama yang terkandung dalam Akta SPRM 2009.

Peranan menggalakkan integriti ini dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) yang ditubuhkan pada 1 Jun 2013. 

Bagi mencapai objektif penubuhannya, BPIA diberikan tanggungjawab mengawal selia, memberi khidmat nasihat, membangunkan dasar pengurusan integriti agensi dan melaksanakan penarafan risiko.

Ia bagi memastikan pengurusan integriti di sektor awam dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dilaksanakan dengan teratur serta efektif mengikut fungsi teras masing-masing mengikut Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Versi1.0 (2022) Ceraian SP.1.2.1 dan Arahan YAB Perdana Menteri (PM) No. 1 Tahun 2018 Siri 1 No. 1 tahun 2018.

Sehingga 31 Mei 2024, rekod BPIA telah menunjukkan sejumlah 586 agensi awam menubuhkan Unit Integriti (UI) pada peringkat masing-masing, manakala sejumlah 631 SBK Unit Integriti dan Governans (IGU) telah ditubuhkan di SBK.

UI dan IGU adalah sebagai focal point kepada pengurusan isu-isu berkaitan integriti di semua agensi awam dan SBK untuk memastikan warga kerja mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh. 

Ia juga diharapkan dapat membantu agensi di dalam memperkukuhkan kawalan dalaman bagi mencegah gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dan seterusnya mewujudkan budaya perniagaan yang bersih dan sihat.

Sejak penubuhan UI dan IGU di agensi awam dan SBK, pelbagai usaha, inisiatif dan program telah dilaksanakan oleh UI dan IGU untuk memantapkan dan memperkukuhkan integriti dan tatakelola baik agensi masing-masing. 

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini boleh dijadikan sumber rujukan, pedoman samada kepada agensi awam atau organisasi di sektor swasta dalam usaha penambahbaikan atau pemantapan integriti agensi masing-masing.

Oleh itu, buat julung kalinya, SPRM menerusi BPIA telah mengumpul sekali gus menerbitkan buku bertajuk 'Koleksi Amalan Baik Inisiatif Pencegahan Rasuah, Integriti dan Tatakelola Unit Integriti & Governans (IGU), Edisi Tahun 2024'. 

Buku kompilasi amalan baik dalam bentuk infografik ini mengandungi 44 inisiatif dan program integriti yang dikongsi secara sukarela oleh 26 IGU di SBK dan Badan Berkanun (BB) seluruh negara dalam menjalankan tugas pembanterasan rasuah dan memperkukuhkan integriti organisasi. 

Selain itu, buku ini bertujuan untuk mempamerkan segala usaha dan inisiatif Pegawai-pegawai IGU dalam mengekang perlakuan rasuah dan pelanggaran etika melalui penganjuran aktiviti-aktiviti pengukuhan integriti serta penambahbaikan sistem dan prosedur organisasi di Malaysia.

Kandungan nashkah ini boleh dijadikan sumber rujukan dan panduan dalam melaksanakan fungsi teras IGU seperti yang diperuntukkan dalam Arahan YAB PM No. 1 Tahun 2018 Siri 1 No. 1 tahun 2018.

Pelancaran buku ini akan diadakan pada 4 Julai 2024 bertempat di bangunan Mercu UEM, Kuala Lumpur bersempena Simposium Ketua Unit Integriti Dan Governans (CIGO) dan Mesyuarat CIGO Siri 6 Bil. 1 Tahun 2024.

Dalam pada itu, pada majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Khazanah Nasional Berhad, akan turut dilancarkan buku bertajuk “Achieving Adequate Procedures for Small and Medium Enterprises”.

Buku ini pula merupakan perkongsian pandangan dan perspektif perjalanan Khazanah Nasional Berhad dalam melaksanakan fungsi IGU serta komitmennya untuk mencapai “tatacara yang mencukupi” yang diperlukan untuk mempertahankan kesalahan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan oleh organisasi komersial.

Perspektif dan pandangan daripada penerbitan ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar Khazanah berurusan dengan syarikat penerima pelaburan mereka sendiri di peringkat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Usaha memerangi rasuah memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak.  Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mempunyai tanggungjawab untuk menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi  mewujudkan masyarakat yang lebih bersih dan berintegriti.


* Penulis ialah TPj Lim Bee Kean, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.